Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jennie menang saman terhadap lelaki dakwa diri sebagai bapa kandung


Oleh: AILEEN ADAM

BINTANG sensasi K-Pop dan anggota kumpulan Blackpink, Jennie, memenangi kes saman terhadap seorang penulis novel yang mendakwa diri sebagai bapa kandungnya.

Sebelum ini, penyanyi lagu Like Jennie dan Mantra itu tidak pernah mendedahkan identiti atau maklumat tentang bapanya kepada umum.

Namun, seorang penulis novel dikenali sebagai 'A' secara terbuka mengaku sebagai bapa kandung Jennie menerusi prolog dalam novel terbaharu tulisannya. Novel tersebut juga menggunakan nama dan imej Jennie sebagai muka hadapan.

Spekulasi mengenai dakwaan itu mula tersebar pada 30 Ogos 2024 apabila sebuah portal media Korea, menerbitkan artikel berkaitan novel berkenaan.

Laporan itu mendakwa bahawa novel itu menjadi lebih ‘bermakna’ kerana ditulis oleh ‘bapa Jennie’ sendiri, dan mengisahkan perjalanan anaknya menjadi seorang idola K-pop.

Meskipun artikel itu dipadam hanya beberapa jam selepas disiarkan, netizen Korea sempat mengambil tangkapan skrin dan mula menyiasat latar belakang penulis tersebut.

Tindakan undang-undang

Susulan dakwaan palsu itu, agensi Jennie, OA Entertainment memfailkan tindakan undang-undang terhadap penulis novel dan portal terbabit pada 6 September 2024 atas penyebaran maklumat tidak benar dan mencemarkan nama baik artis mereka.

Kes itui kemudiannya dibawa ke Mahkamah Daerah Uijeongbu, cawangan Goyang, di mana agensi terbabit memohon larangan terhadap pengedaran novel tersebut.


Dalam perkembangan terbaru, mahkamah memutuskan bahawa dakwaan penulis berkenaan tidak berasas dan mengarahkan agar semua salinan novel yang ditulis berkaitan Jennie itu dimusnahkan serta-merta.

Dia turut dilarang sama sekali merujuk kepada Jennie, 29, dalam sebarang bentuk, sama ada di media sosial, KakaoTalk, atau dalam sesi temubual.

“Tiada sebarang bukti menyokong dakwaan tertuduh selain kenyataan dirinya sendiri. Rekod daftar keluarga rasmi plaintif jelas menunjukkan bahawa bapa kandung Jennie adalah individu lain,” kata hakim dalam kenyataannya.

Walaupun mahkamah mengakui hak peribadi Jennie telah diceroboh, penulis terbabit tidak dikenakan sebarang denda memandangkan kes ini tidak melibatkan tuntutan harta. Namun begitu, dia diarahkan untuk menanggung semua kos guaman. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات