Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Chinchilla: Si gebu comel yang kini semakin popular


Oleh: SORAYA AFNAN
DALAM dunia haiwan peliharaan eksotik, chinchilla kini semakin mendapat tempat di hati pencinta haiwan termasuk Malaysia.

Dengan bulu ultra gebu, karakter pemalu tapi manja, serta wajah comel yang buat ramai cair, tidak hairanlah spesies dari Amerika Selatan ini makin popular dipelihara di Malaysia.

Dahulu, chinchilla sering diburu oleh suku kaum Chincha untuk dijadikan pakaian kerana bulunya yang sangat tebal dan hangat.

Akibat pemburuan berlebihan, spesies tersebut hampir pupus. Namun kini, chinchilla dibela menerusi pembiakan terkawal dan sah untuk dijadikan haiwan kesayangan.

Berasal dari kawasan pergunungan Andes, terutamanya di Chile dan Peru, chinchilla terkenal sebagai haiwan yang bersih, tidak berbau, jinak, dan aktif pada waktu malam. Ia tidak suka dibelai secara keterlaluan, tetapi boleh membentuk ikatan rapat dengan pemilik jika dilatih dengan sabar.

Fakta menarik tentang Chinchilla

● Memiliki bulu paling padat di dunia dengan lebih daripada 20,000 helai bulu dalam setiap inci persegi. Ini menjadikannya antara haiwan bebas kuman secara semula jadi.

● Boleh melompat setinggi enam kaki, menjadikan haiwan sangat aktif dan suka memanjat.

● Makanan utama terdiri daripada Timothy hay, pellet khas chinchilla dan air bersih.

●Tidak boleh dimandikan dengan air, sebaliknya memerlukan habuk khas (dust bath) untuk mengekalkan kebersihan bulu. Mereka wajib mandi dengan debu khas itu sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu. Tujuannya? Untuk serap minyak dan kelembapan.

● Disebabkan asal usulnya dari kawasan sejuk, chinchilla memerlukan ruang yang berhawa dingin atau sejuk secara semula jadi. Suhu melebihi 25°C boleh menyebabkan mereka terkena ‘heat stroke’.

● Tidak berpeluh. Suhu terlalu panas sangat bahaya untuk mereka dan boleh membawa maut jika tidak dipantau.

● Gigi mereka terus tumbuh sepanjang hidup. Jadi Chinchilla perlukan mainan atau kayu khas untuk dikunyah supaya gigi kekal sihat dan tidak terlalu panjang.

● Boleh hidup hingga 15–20 tahun jika dijaga dengan baik.


Status pemeliharaan di Malaysia

Chinchilla bukan haiwan terancam dan tidak tersenarai dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Maka, ia boleh dipelihara secara sah di Malaysia selagi dibeli daripada penjual berlesen.

Kini komuniti pencinta chinchilla di Malaysia juga semakin berkembang. Ramai pemilik berkongsi tip penjagaan, ragam lucu, dan pengalaman pelihara chinchilla menerusi platform media sosial. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات