Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Magis Wicked, segalanya kelihatan sempurna


NASKHAH yang paling ditunggu-tunggu, muzikal Wicked kini menjengah pawagam dengan penuh kehangatan.

Keterujaan yang berbaloi apabila penghasilan filem arahan Jon M. Chu itu tampil dengan paket hampir sempurna dalam segala aspek baik dari segi muzik mahupun visual sehingga meninggalkan impak luar biasa buat penonton.

Meski pada awalnya terasa ralat apabila ia terbahagi kepada dua bahagian, tetapi dek kerana 'seronoknya' menikmatinya bahagian pertama ini, ramai sahaja yang sudi menanti dengan sabar bahagian seterusnya yang dijangka bakal ditayangkan pada penghujung tahun 2025.       

Wicked yang merupakan naskhah adaptasi daripada muzikal broadway dan garapan daripada novel Wicked: The Life and Times of the Wicked Witch of the West (1995) karya Gregory Maguire itu mengisahkan tentang tentang persahabatan antara Elphaba lakonan Cynthia Erivo dan Glinda (Ariana Grande) yang bertemu ketika belajar di Universiti Shiz, Land of Oz.

Glinda merupakan gadis ceria yang disukai teman-temannya dan sentiasa berjuang untuk mengekalkan popularitinya, selain menyimpan keinginan bergelar penyihir. Sementara Elphaba pula dilahirkan berbeza dengan kulit hijau dan personaliti bertentangan menyebabkan kehadirannya ditolak orang sekeliling tanpa mengetahui gadis itu mempunyai magis tersembunyi.

Glinda dan Elphaba pada awalnya tidak menyukai antara satu sama lain, tetapi kemudiannya menjadi sahabat baik. Namun persahabatan itu diuji selepas mereka bertemu dengan The Wizard of Oz, yang akhirnya mengubah perjalanan hidup kedua-duanya.


Naskhah ini diterjemahkan dengan begitu cemerlang dari awal kisah bermula sehingga kepada kemuncak cerita yang menggodek pelbagai emosi penonton.

Apatah lagi dengan gandingan serasi dua bintang hebat, Cynthia dan Ariana yang menjadikan filem ini luar biasa hebat. Tidak hanya dalam lakonan, tetapi kedua-duanya juga memberikan yang terbaik dalam nyanyian apabila saling melengkapi secara semula jadi.

Pembinaan karakter kedua-duanya juga begitu memikat dan berjaya disempurnakan dengan baik oleh mereka. Masing-masing memberi magis tersendiri kepada peranan yang dimainkan sehingga melekat pada tontonan.

Siapa sangka Ariana yang sebelum ini masyhur sebagai bintang pop, tampil dengan lakonan yang begitu hebat, comel dan tidak diragukan impaknya.

Tidak sekadar melontarkan dialog, kesemua pelakon berjaya memenuhi peranan mereka untuk menghidupkan karakter yang diberikan dengan sesempurna yang mungkin. 

Ia sekali gus membantu penonton mencerna mesej yang dibawakan dalam filem ini dengan baik dan jelas tanpa dipaksa-dipaksa.

Kita dapat melihat bagaimana budaya 'buli' dan penolakan kepada 'perbezaan' yang dinormalisasikan dalam masyarakat sehingga memberi kerosakan yang tidak terjangkakan kepada individu yang terlibat.

Lihat sahaja bagaimana karakter Elphaba dipulaukan hanya kerana dilahirkan berbeza dengan lain sehingga segala haknya dinafikan orang keliling. Menyelami emosinya barangkali boleh membuatkan kita tersedar seketika tentang ketidakadilan dilalui.

Itu jugalah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini yang tidak akan senang melihat sesuatu yang tidak lazim di mata meski ia sedikitpun tidak menjejaskan kehidupan mereka.

Keseronokan menonton Wicked juga pastinya daripada magis muzikalnya yang dibuat cukup teliti. Segalanya terlihat saling melengkapi baik dari segi muzik, lagu dan vokal 'live' yang disempurnakan oleh karakter yang terlibat.

Dendangan Defyling Gravity, Popular, I'm Not that Girl, Dancing Through Life begitu dan lain-lain mengocak jiwa serta emosi. Vokal, koreografi dan sususan muzik menyatu demgan baik.


Tidak terlupakan pemilihan kostum dan latar set yang begitu indah menyokong cerita sehingga terasa dunia yang dipaparkan itu benar-benar wujud.

Paparan sinematografinya juga luar biasa sehingga fantasinya terlihat seperti realiti yang hidup dalam dunia nyata. Kota Emerald masih bergentayangan meski usai menonton.

Secara keseluruhannya, Wicked adalah salah satu naskhah adaptasi muzikal terbaik. Bukan sekadar muzikal biasa, tetapi ia adalah satu perjalanan emosi yang tidak terungkapkan sepanjang 2 jam 45 minit tayangannya.

Jangan ketinggalan untuk menonton filem yang bakal memberikan anda pengalaman menakjubkan ini di pawagam berdekatan. - 7KLIK



ARTIKEL LAIN:


WICKED
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Muzikal/Fantasi
Durasi: 2 jam 45 minit
Pengarah: Jon M. Chu     
Pelakon: Cynthia Erivo, Ariana Grande, Tan Sri Michelle Yeoh, Jeff Goldblum, Jonathan Bailey
Edaran: United International Pictures
Tarikh Tayangan: 21 November 2024
Bintang: 8.5/10 

[KREDIT FOTO: United International Pictures - Terima Kasih Fatin Salleh ]

Post a Comment

0 Comments