Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Christian, Braxton bersatu! The Accountant 2 bongkar dunia gelap pemerdagangan manusia

Gnadingan serasi Ben Affleck dan Jon Bernthal dalam The Accountant 2 | FOTO: Warner Bros. Pictures

SELEPAS hampir satu dekad, Ben Affleck kembali sebagai Christian Wolff dalam filem The Accountant 2, sekuel yang menemukan semula penonton dengan akauntan forensik autistik yang juga seorang pembunuh upahan.

Masih diarahkan Gavin O’Connor dan ditulis oleh Bill Dubuque, filem ini cuba mengimbangi aksi mendebarkan dengan pengembangan watak yang lebih mendalam.

Kali ini, Christian menyiasat pembunuhan misteri bekas ketua Perbendaharaan, Ray King, lakonan J.K. Simmons atas permintaan ejen Marybeth Medina (Cynthia Addai-Robinson) yang mahukan keadilan.

Penyiasatan tersebut membuka jalan kepada konspirasi global melibatkan sindiket pemerdagangan manusia dan jenayah terancang antarabangsa. Seperti biasa, Christian menggunakan kecerdasan luar biasa dan kaedah tidak konvensional untuk membongkar kebenaran.

Affleck kekal konsisten dengan watak Christian, seorang yang tenang, teratur dan tertutup. Namun kali ini, penonton mungkin lebih terpikat dengan lakonan Jon Bernthal sebagai Braxton, adik kepada Christian.

Dinamika dua beradik ini bukan sahaja mencetuskan ketegangan dan humor, tetapi juga menghidupkan semula elemen filem aksi berpasangan ala era 1980-an.

Filem ini juga menyentuh isu neurodiversiti dengan memperkenalkan lebih banyak watak neurodivergen, seperti Justine dan pelajar-pelajar di Harbor Neuroscience Academy.

Walaupun usaha itu wajar dipuji, sesetengah pengkritik berpendapat filem ini masih terjebak dalam stereotaip lama yang mengaitkan autisme dengan kebolehan luar biasa, tanpa benar-benar menyelami realiti harian individu autistik.



Apa-apapun, dari segi aksi The Accountant 2 tidak mengecewakan. Dari adegan tembak-menembak di bingo hall Texas hingga pertempuran sengit di Juárez, Mexico, semuanya tersusun rapi dan penuh intensiti.

Cuma mungkin percubaan menggabungkan unsur ganas, emosi dan komedi kadangkala terasa tidak seimbang.

Secara keseluruhan, The Accountant 2 mungkin tidak menandingi kekuatan filem pertamanya, tetapi naskhah ini tetap menawarkan gabungan  aksi, emosi dan dinamika watak yang cukup menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


THE ACCOUNTANT 2
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P16
Genre: Aksi/thriller
Durasi: 2 jam 13 minit
Pengarah: Gavin O'Connor     
Pelakon: Ben Affleck, Jon Bernthal, J.K. Simmons, Cynthia Addai-Robinson
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 24 April 2025
Bintang: 6/10

[KREDIT FOTO: Warner Bros. Pictures]

Post a Comment

0 Comments