TUKANG - Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024, Tourism Selangor raikan artis tempatan dengan karya seni unik


TOURISM Selangor terus merancakkan acara seni dengan kepelbagaian aktiviti untuk terus meriahkan hab industri kreatif.

Terbaru, agensi pelancongan rasmi negeri Selangor tampil berkolaborasi dengan Rantai Art menganjurkan sebuah acara seni yang dikenali sebagai TUKANG - Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024.

Berlangsung di The Spine, PJKita, Petaling Jaya, pada 5 hingga 9 Jun lalu, acara tersebut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif menarik, termasuk pameran inovatif, bengkel seni, perkongsian reka bentuk, bazar seni dan pop-up art serta persembahan muzik.

Menariknya, acara yang sudah memasuki edisi kedua penganjurannya itu turut mempamerkan enam projek seni daripada barisan artis yang menerima geran RM10,000.00 setiap seorang dalam sebuah pertandingan bertemakan ‘Reka Lestari’ anjuran Tourism Selangor.

Projek tersebut terdiri daripada Wayang Robot oleh Ahnaf Hakimi, Scaling Up Scraps (Syiborisyd dan Aruznadi), Pagar 2π (Parti Design Awangan), Deru Arus (Jamil Zakaria), Dung Beetle—A Participatory ‘Dirt’ Exploration (Cheng Yen Peng) dan The Light of All Things (Khabir Roslan).


Festival ini bukan sahaja bertujuan untuk mempamerkan bakat luar biasa artis tempatan tetapi juga memberikan perkongsian yang mendalam tentang dunia seni dan kraf.

Projek-projek inovatif ini yang dipamerkan pada acara itu oleh Intan Rafiza Abu Bakar dari Balai Seni Lukis Negara.

Acara penutup TUKANG - Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024 pada Ahad lalu, dilakukan EXCO Pelancongan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang turut menyampaikan geran kepada artis terlibat selain turut meluangkan masa melawat setiap projek seni yang dipamerkan.

"Saya yakin bahawa Festival Tukang ini mempunyai potensi yang besar dalam memperkasa bakat-bakat seni tempatan seterusnya merancakkan industri kreatif dan pelancongan terutamanya yang ada di Selangor.

"Seni dan budaya memainkan peranan penting dalam memacu industri pelancongan negara. Keunikan hasil seni tempatan bukan sahaja mencerminkan keunikan budaya negeri Selangor, malah mampu menjana ekonomi untuk kerajaan, dengan menarik para pelancong untuk melihat sendiri keunikan hasil seni dan kraf negeri Selangor," ujarnya.

TUKANG - Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024 turut menampilkan persembahan kumpulan muzik indie tempatan termasuk Daliliyana, Kingsley Chen, Lorita Nyepit, Ocean Astronaut, Amir Alif serta Kelab Angklung IIUM.


Selain itu, festival itu juga melibatkan pelbagai vendor yang menawarkan makanan, kopi, makanan ringan, pastri, hasil seni dan kraf.

Apa yang diharapkan, pada masa akan datang hebahan mengenai acara seni seperti ini dapat diperluaskan lagi agar ia sampai kepada golongan sasaran.

Sayang sekali jika acara seni unik dan menarik seperti ini hanya diketahui dan dihadiri oleh kelompok atau kumpulan tertentu sahaja. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Tourism Selangor]

Post a Comment

Previous Post Next Post