Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Saya terpaksa beradaptasi, menyesuaikan diri dengan gaya nyanyian berbeza" - Vanessa Reynauld


MESKI populariti masih belum menyebelahi dirinya secara total, bakat luar biasa Vanessa Reynauld sememangnya diakui ramai.

Memiliki suara memukau, karya nyanyian bintang berusia 24 tahun itu berjaya memperkenalkan Namanya dalam industri. Malah dia juga pernah diangkat sebagai Artis Baharu Terbaik pada acara Anugerah Industri Muzik 2022.

Menyedari itu, Vanessa mahu terus berkongsi bakatnya kepada umum dengan menampilkan sebuah single baharu berjudul Erti Rindu.

Karya terbitan dan ciptaan sepenuhnya oleh Affan Mazlan yang juga merupakan sebuah lagu balada itu dijangka mampu mencuri perhatian para pendengar.

Menurut Vanessa, lagu tersebut menceritakan tentang perasaan rindu pada seseorang.

"Ia boleh dikaitkan dengan orang yang masih bersama kita namun berada jauh di tempat yang lain atau ia boleh juga menggambarkan perasaan rindu pada seseorang yang telah tiada ataupun telah pergi.

"Jadi terpulang pada pendengar untuk menginterpretasikan lagu ini dengan cara mereka sendiri. Intinya, lagu ini tentang rindu,” ungkap Vanessa.

Berkongsi pengalamannya ketika proses rakaman, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui berdepan beberapa cabaran.

“Biasanya saya akan sentiasa cuba menyampaikan lagu mengikut gaya persembahan dan nyanyian saya tersendiri.

"Namun kali ini semasa bekerjasama dengan Affan Mazlan selaku produser dan pencipta lagu, saya diminta untuk mengubah gaya penyampaian saya.

"Ini kerana Affan telah pun mempunyai gambarannya tersendiri tentang cara lagu ini dipersembahkan," jelasnya.

Tambah Vanessa lagi, ia bukan suatu yang mudah, tetapi dia cuba melakukan yang terbaik bagi memenuhi tuntutan lagu tersebut. 

"Dalam rakaman lagu ini sebutan dan lontaran suara saya lebih bulat dan penuh seperti yang diminta Affan. Malah ia ada sedikit bayangan seperti lagu-lagu yang dinyanyikan penyanyi dari seberang, Mahalini.

"Affan yakin jika sebutan saya dalam lagu ini lebih penuh, ia akan membuat lagu ini lebih sedap didengar.

"Di situlah cabaran utama saya semasa rakaman kerana terpaksa beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan gaya nyanyian yang berbeza. Saya sahut cabarannya dan berjaya memberikan apa yang diminta penerbit,” katanya lagi.



Tidak hanya itu, ungkap Vanessa, proses rakaman lagu tersebut mengambil masa sekitar empat jam.

“Pada saya, hasilnya bagus walaupun ada beberapa perkara yang menurut saya mungkin boleh diubah.

"Namun oleh kerana produser dan pencipta lagu ini sudah mempunyai visinya yang jelas dan tersendiri untuk karyanya ini, saya ikut arahannya kerana yakin bahawa inilah yang terbaik buat lagu tersebut menurut pencipta lagu.

"Saya harap para pendengar akan menerima lagu ini dengan hati yang terbuka dan menyukai karya ini seperti mana saya menyukainya.

"Lebih penting, saya harap semua orang boleh merasai maksud lagu ini dan akan memutarkannya berkali-kali,” akhirinya.

Erti Rindu yang dilancarkan pada 7 Jun lalu kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

[FOTO: Sony Music Malaysia]

Post a Comment

0 Comments