BERSEDIA untuk menari, menikmati makanan sedap, dan menyelami keindahan budaya Jepun di bawah cahaya malam kerana Bon Odori edisi ke-49 bakal kembali ke Sunway City Kuala Lumpur selama dua hari berturut-turut pada 12 dan 13 Julai 2025.Bermula secara kecil-kecilan pada tahun 1977 sebagai satu inisiatif komuniti ekspatriat Jepun untuk memperkenalkan budaya asal mereka kepada anak-anak, Bon Odori kini berkembang menjadi antara acara budaya tahunan yang paling dinanti-nantikan di Malaysia.
Tahun ini, Sunway City Kuala Lumpur berganding bahu dengan The Japan Club of Kuala Lumpur , The Japanese School of Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun dalam menganjurkan Bon Odori ke-49, sebagai simbol penghormatan kepada tradisi Jepun sambil memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan Jepun.
Lebih daripada sekadar festival budaya, Bon Odori 2025 juga memberi impak positif kepada sektor pelancongan Malaysia. Setiap tahun, acara ini menarik ribuan pengunjung pelbagai latar belakang, sekaligus menyumbang kepada peningkatan pelancongan tempatan dan meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi budaya utama di rantau ini.
Penganjuran Bon Odori turut mendapat sokongan daripada The Japanese Chamber of Trade & Industry Malaysia, Tourism Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Polis Diraja Malaysia serta kurator gaya hidup Pingmin Market. Dengan kolaborasi pelbagai pihak ini, festival yang berusia hampir lima dekad ini kekal sebagai antara acara budaya paling dinanti rakyat Malaysia.
Lebih menarik, masuk adalah percuma. Pengunjung hanya perlu mendaftar awal untuk mendapatkan kipas tangan eksklusif dan baucar festival. Bagaimanapun kuantiti terhad dan diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat.
Lokasi festival ini juga mudah diakses hanya beberapa minit berjalan kaki dari Sunway Pyramid melalui Canopy Walk, atau turun sahaja di stesen BRT Sunway Lagoon. Bertempat di kawasan parkir terbuka bersebelahan Sunway Resort, kawasan ini akan bertukar menjadi festival terbuka yang dipenuhi lebih 100 gerai makanan jalanan Jepun, snek unik, cenderamata tradisional dan hasil kraftangan eksklusif.
Persembahan Budaya Unik
Apa yang lebih istimewa, pilihan makanan di sini mesra untuk semua, termasuk pengunjung Muslim dan bukan Muslim menjadikan Bon Odori sebagai acara yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Selain itu, pengunjung juga bakal disajikan dengan pelbagai persembahan budaya yang energetik dan immersive. Seperti festival budaya Malaysia yang meraikan warisan, keluarga dan komuniti, Bon Odori mengetengahkan semangat kebersamaan yang melangkaui sempadan.
Setiap malam festival akan dimulakan dengan persembahan dram taiko yang bertenaga, diikuti tarian ikonik Bon Odori, sebuah tradisi tarian rakyat Jepun yang sinonim dengan musim Obon.
Tarian ini melibatkan para peserta yang menari secara beramai-ramai mengelilingi menara dram atau yagura, biasanya diadakan di ruang terbuka waktu malam, menggambarkan irama dan semangat kolektif yang meraikan kenangan dan hubungan sesama manusia.
Lebih menarik, elemen tempatan turut diselitkan dalam festival ini menerusi persembahan istimewa oleh MBSJ, Tourism Selangor dan Sunway Lagoon, memperlihatkan gabungan budaya Jepun dan Malaysia dalam satu perayaan persahabatan yang unik.
Gabungan budaya ini mencerminkan misi lebih besar JCKL dan Kedutaan Jepun membina rasa saling menghormati dan memahami secara ceria antara dua negara yang telah lama terjalin persahabatannya.
Tidak kira sama ada anda hadir bergaya dengan yukata tradisional Jepun atau berpakaian santai, festival ini terbuka untuk semua keluarga, pasangan, sekumpulan kawan atau mereka yang baru pertama kali ingin mencuba pengalaman budaya Jepun.
Berlangsung dari jam 4 petang hingga 11 malam pada kedua-dua hari, Bon Odori 2025 dipilih di lokasi strategik yang memudahkan akses serta menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung.
Pengalaman Berganda
Daripada suasana sibuk Sunway Pyramid ke dentuman dram taiko yang membangkitkan semangat, semuanya bersambung untuk pengalaman yang lancar dari siang hingga malam.
Dengan kemudahan mesra keluarga, tempat rehat dan keperluan saat akhir hanya beberapa langkah dari tapak festival, pengunjung boleh menikmati acara ini dengan lebih selesa sepanjang hujung minggu.
Saat matahari terbenam di Sunway City Kuala Lumpur, suasana festival ini akan berubah menjadi magis dengan lampu tanglung berkilauan, bunyi dram bergema, dan aroma makanan jalanan memenuhi udara malam.
Sama ada ini adalah kali pertama anda menghadiri Bon Odori atau sudah menjadi tradisi tahunan, edisi tahun ini yang lebih besar dan meriah menjanjikan pengalaman berganda dari segi hiburan, rasa dan keceriaan.
Jadi, kumpulkan keluarga dan rakan-rakan anda, bersiaplah dengan pakaian yang sesuai, dan hayati sendiri keunikan budaya, komuniti dan persahabatan dalam Bon Odori ke-49 ini. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi atau media sosial Sunway Pyramid.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments