Hot Posts

6/recent/ticker-posts

“Rahsia Pohon Cemara akan dipersembahkan dengan sangat istimewa di Konsert Exists X Orkestra” – Along Exists



KEHANGATAN konsert Exists X Orkestra yang bakal berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember depan semakin dirasai dan mengundang teruja ramai.

Apatah lagi konsep orkestra yang pertama kali akan diketengahkan selepas 32 tahun kumpulan itu berada dalam belantika muzik Nusantara yang tentunya bakal menjadi hadiah istimewa buat peminat setia mereka.

Kumpulan yang diangootai oleh Mamat, Ezad, Ajai, Musa, Ujang dan Along itu kini sedang giat melakukan persiapan demi memastikan konsert yang dibawakan oleh Persatuan Global Malaysia itu menjadi persembahan yang paling diingati dan menghiburkan.

Menurut Along, besar harapan mereka agar semua perancangan berjalan lancar sehingga Exists X Orkestra terlaksana pada 22 Disember 2023. Sehingga kini Exists telah melalui lebih 40 peratus persiapan dari segi teknikal dan pengurusan.

"Kami berjanji untuk memberi persembahan terbaik dan bersifat malar segar kepada semua. Proses kolaborasi muzik kugiran dan orkestra bukan sesuatu yang mudah, tetapi sebagai pemuzik hasil yang diperoleh kelak akan menambah portfolio besar dalam katalog karier kami.

“Dalam pada itu kami juga menikmati dan belajar melalui proses demi proses termasuk menyiapkan semua susunan lagu daripada kami sendiri, kemudian diserahkan kepada arranger muzik orkestra untuk digabungkan susunan muzik bersama.

“Fasa seterusnya iaitu sesi latihan Exists dan orkestra sangat kami nantikan. Apa yang pasti, gabungan kami akan menghasilkan semua lagu ke tahap yang lebih sedap dan ‘penuh’,” jelasnyamewakili anggota Exists yang lain.

Menariknya, pada konsert Exists X Orkestra itu juga, peminat yang hadir akan menjadi saksi lagu pertama yang dirakam mereka iaitu Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan dengan mewah dengan iringan muzik orkestra.

Along ketika sesi latihan.

Tambah Along, pada konsert itu nanti, Exists buat pertama kalinya akan mempersembahkan lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal, LY  yang dimuatkan dalam album pertama berjudul Exist  pada tahun 1991 itu dalam versi berbeza.

“Rahsia Pohon Cemara punya nilai sentimental buat Exists kerana inilah lagu pertama yang kami rakamkan dan termuat dalam album sulung kami. Malah pertama kali pada konsert Exists X Orkestra, lagu ini dipersembahkan dengan sangat istimewa,” katanya.

Dalam pada itu, Exists juga meluahkan rasa syukur apabila penjualan tiket Exists X Orkestra sangat memberangsangkan sejak hari pertama dijual.

“Penjualan tiket agak bergerak dengan baik jika dibandingkan dengan konsert sebelum ini. Kami percaya tiket akan terus dibeli peminat menerusi banyak promosi dan bantuan rakan media mewar-warkan mengenainya,” katanya lagi.

Exists X Orkestra akan menyaksikan kumpulan yang berasal dari Johor Bahru itu bergabung dengan sekitar 30 pemuzik orkestra dan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka.

Tiket konsert Exists X Orkestra dijual pada harga RM568, RM468, RM368, RM268 dan RM168. Pembelian boleh dibuat menerusi menerusi laman sesawang www.MyTicket.Asia- 7KLIK









Post a Comment

0 Comments