Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Faith4palestine: Faizal Tahir lelong barangan peribadi untuk kumpul dana



PENYANYI Faizal Tahir bakal menganjurkan sebuah acara amal bertujuan untuk mengumpul dana bagi bantuan kemanusiaan Palestin dan sebagai tanda menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza.

Acara yang dinamakan sebagai Faith4Palestine itu dianjurkan melalui gerakan kemanusiaan kendaliannya, iamFaithmen dan syarikat rakaman, Faithful Music.

Menurut Faizal, 45, acara tersebut bukan tentang hiburan semata-mata, tetapi iaa lebih daripada itu.

"Kami adakan sesi perbincangan terbuka (podcast) bersama Cinta Gaza Malaysia dan juga bidaan barangan peribadi saya.

"Faith4Palestine adalah satu usaha untuk membantu keluarga kita yang sekarang ini sangat memerlukan bantuan dan perhatian. Semoga yang hadir dapat sesuatu yang berfaedah selepas mereka pulang ke rumah.

“Muzik adalah satu elemen yang penting dalam kita meyampaikan mesej. Jadi, saya sentiasa pastikan setiap lagu yang saya buat membawa maksud yang positif dan dapat memberi sesuatu kepada komuniti," ujarnya.





Faith4Palestine yang menampilkan persembahan akustik oleh Faizal Tahir dan artis jemputan, sesi rakaman podcast bersama Nadir Al-Nuri dan lelongan amal barangan peribadi  itu bakal berlangsung di Royale Chulan, Damansara, pada 12 November ini, bermula jam 2 hingga 4 petang. 

Objektif penganjuran Faith4Palestine adalah untuk mendidik masyarakat tentang sejarah panjang bumi Palestin serta memberi bimbingan tentang bagaimana masyarakat  boleh membantu dalam tindakan secara kolektif.

Tidak hanya itu, acara itu juga bertujuan menerangkan cabaran berterusan yang dihadapi oleh rakyat Palestin dan memberi pencerahan langkah-langkah positif dalam membantu mereka di sana.

Tiket untuk acara tersebut dijual pada harga RM99, di mana semua keuntungan daripada kutipan akan disalurkan terus kepada tabung bantuan Palestin melalui rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia. Pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web: www.ticket2u.com.my atau ke http://t2u.asia/e/33456 - 7KLIK




Post a Comment

0 Comments