Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tari Hulu Peta, JKKN Johor ungguli karya Inspitari Terbaik 2023


JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) meneruskan kecemerlangan menerusi penganjuran Inspitari 2023 yang ternyata berjaya mengembang dan menyemarakkan lagi seni tari tradisi ke tahap lebih baik.

Memasuki edisi kelapan pelaksanaannya, Inspitari yang mula diperkenalkan sejak tahun 2010 secara dwi tahunan kini mempunyai 108 karya baharu menerusi olahan dan ciptaan lebih dinamik yang sekali gus menghasilkan seni tari budaya lebih berimpak dan kekal relevan dalam masyarakat hari ini.

Inspitari 2023 yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur pada 4 dan 5 November lalu berlangsung meriah dengan 16 karya baharu hasil ciptaan daripada 16 koreografer dan 275 Artis Budaya Kumpulan Kesenian JKKN dari seluruh negeri.

Masing-masing tampil kreatif dengan memperkenalkan idea unik dalam gerak-gerak tertentu berdasarkan elemen alam, budaya atau persekitaran setempat menjadi bentuk tarian yang indah dan menghiburkan.

Hamly Shah Ramli dari JKKN Johor  menerima piala pusingan bagi Karya Inspitari Terbaik 2023.



Pada edisi terbaharu ini, JKKN Johor menerusi karya Tari Hulu Peta di bawah bimbingan koreagrafer Hamly Shah Ramli diangkat sebagai Karya Inspitari Terbaik 2023, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan serta Sijil penghargaan.

Tarian tersebut merupakan tarian kreasi terbaharu yang diilhamkan daripada aktiviti harian masyarakat Orang Asli Hulu Jakun. Mereka merupakan sebahagian daripada orang Asli Melayu-Proto yang tinggal di Kampung Peta di Lembangan sungai Endau, di daerah Mersing, Johor. Tarian ini juga menggunakan lagu Abang pelanduk iaitu lagu yang sering dinyanyikan dalam persembahan bagi majlis-majlis keramaian mereka.

JKKN Johor yang turut menampilkan persembahan Tarian Ceracap Inai (Segmen Tradisi Negeri) pada malam pertama meraikan kemenangan berganda apabila memenangi Anugerah TikTok Karya Inspitari Sepanjang Zaman. Anugerah tersebut diberikan kepada karya Inspitari terdahulu mempunyai 'Like' tertinggi yang disiarkan dalam TikTok MySeniBudaya sepanjang 4 hingga 31 Oktober lalu.

Turut menghangatkan Inspitari 2023 dengan karya hebat masing-masing ialah JKKN Melaka yang membawakan tarian Naka Laksamana, JKKN Terengganu (Segok Khuge), JKKN Pulau Pinang (Ronggeng Kepak Tanjung), JKKN Sarawak (Mekieng Kelabok) dan JKKN Kelantan (Awe Mindo).

Diikuti JKKN Kuala Lumpur (Kolusu), JKKN Ibu Pejabat 1 (Chalok), JKKN Ibu Pejabat 2 (Zapin Gambus), JKKN Kedah (Inang Taboq), JKKN Perlis (Joget Mentarang), JKKN Pahang (Labi-Labi), JKKN Perak (Berinai Kita), JKKN Selangor (Ragam Semungkis), JKKN Negeri Sembilan (Mengomping) dan JKKN Sabah (Tarian Monombodou).

Kesemua kumpulan dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Prof Dr. Mohd Anis Md Nor, Tan Sri Norliza Rofli dan Fairuz Fee Tauhid.   




Pada acara sama yang dihoskan oleh Khairul Mokhtar dan Tazneem Faisal itu turut menyaksikan penyerahan Sijil Pengiktirafan Karya Inspitari dari tahun 2010-2018 yang telah diangkat oleh JKKN bagi mendapatkan perkhidmatan pendaftaran harta intelek di Malaysia. Setakat ini sebanyak 43 karya Inspitari berjaya berdaftar dengan Perbadanan Harta Intlek Malaysia (MyIPO).

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Aris berkata, penganjuran Inspitari merupakan usaha berterusan pihaknya untuk menyemarakkan seni budaya dan terus menghasilkan karya seni berkualiti serta relevan dengan masyarakat hari ini.

"Inspitari anjuran JKKN adalah merupakan program dwi tahunan yang memberi peluang kepada koregrafer JKKN seluruh Malaysia menghasilkaj karya baharu dalam tarian. Ia juga adalah satu usaha ke arah melahirkan karya dan produk baharu dalam bidang tari yang lebih dinamik dan segar.

"Objektifnya adalah bagi memperbanyakkan koleksi tarian baharu yang unik, segar dan kaya identiti Malaysia. Ia juga dapat meningkatkan daya kreativiti jurutari dan artis tari setiap Kumpulan Kesenian JKKN.

"JKKN juga akan terus komited dalam usaha mengcungkil dan menggali khazanah seni budaya negara yang terdapat di seluruh negara," katanya.   

Melihat kepada sambutan dan maklum balas penonton terhadap program Insptari pada setiap kali penganjurannya, diharapkan JKKN pada masa akan datang dapat menyediakan pentas atau lokasi persembahan lebih besar agar lebih ramai penonton dapat menyaksikan kemeriahannya acara ini secara langsung di depan mata.

Lebih menarik sekiranya ia juga terbuka kepada penonton dalam kalangan pelancong asing yang tentunya berminat untuk turut menyaksikan keunikan persembahan seni tari budaya.

Apa-apapun tahniah kepada JKKN atas penganjuran Inspitari 2023 yang berjaya menarik lebih ramai penonton terutama daripada golongan generasi muda untuk terus menghargai seni dan budaya yang diwarisi. - 7KLIK


JKKN Johor - Tari Hulu Peta

JKKN Ibu Pejabat (2) - Zapin Gambus

JKKN Perak - Berinai Kita

JKKN Terengganu - Segak Khure

JKKN Negeri Sembilan - Mengomping

JKKN Ibu Pejabat (1) - Chalok

JKKN Kedah - Inang Taboq

JKKN Selangor - Ragam Semungkis

JKKN Sabah - Tari Monambodou

JKKN Kelantan - Awe Mindo

JKKN WP Kuala Lumpur - Kolusu

JKKN Pahang - Labi Labi

JKKN Sarawak - Mekieng Kelabok (Tarian Etnik Melanau)

JKKN Perlis - Joget Mentarang

JKKN Melaka - Naka Laksamana

JKKN Pulau Pinang - Ronggeng Kepak Tanjung.

Post a Comment

0 Comments