Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Waheeda kembali ke arena muzik selepas 15 tahun menyepi



WAHEEDA penyanyi yang pernah menambat hati rakyat Malaysia dengan lagu-lagu pop-etnik fusion seperti Wassini, Binafsha dan Dua Dalam Bahtera kini kembali ke arena muzik tempatan selepas lebih 15 tahun menyepikan diri.

Anak kelahiran Johor Bahru itu berehat seketika dari kerjayanya dalam industri muzik pada tahun 2009 selepas berkahwin dengan penyanyi dan penceramah terkenal, Akhil Hayy.

Kembalinya semula Waheeda atau nama sebenarnya adalah Norwahidah binti Abdul Wahab, 45, yang kini mahu dikenali sebagai komposer, pemuzik, dan pencerita melalui lagu-lagu yang dihasilkan.

Lebih dari satu dekad menyepikan diri daripada mata awam, Waheeda sebelum ini hanya membuat penampilan sesekali di media sosial sehingga para peminatnya sering tertanya-tanya sama ada dia akan kembali ke arena muzik, atau telah melepaskan minatnya untuk selama-lamanya.

Bagaimanapun pada tahun ini, Waheeda mengejutkan semua pihak dengan pengumuman untuk kembali aktif di arena seni. Penyanyi itu mendedahkan bakal terlibat dalam beberapa projek baharu yang akan menunjukkan bakatnya sebagai komposer, pemuzik dan pencerita.

Sepanjang tempoh berehat, Waheeda juga telah mengasah bakatnya dalam bermain pelbagai alat muzik seperti biola dan memantapkan kemahirannya bermain piano. Ia adalah antara instrumen-instrumen penting yang sentiasa menjadi penyeri dalam lagunya yang disulam dengan rentak dan bunyi moden.

Semua katalog muzik Waheeda yang menampilkan dua album utama iaitu Binafsha dan album Etnik Terbaik AIM 2008; Melodi Ahlan juga kini boleh didapati di semua platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube, YouTube Music, Amazon Music, Tidal, Deezer, dan Joox.

Waheeda kini diurus sepenuhnya oleh Skyson PR, sebuah agensi perhubungan awam dan kreatif yang mengurus beberapa lagi bakat terkenal dan berpotensi yang lain.

Dalam pada itu, untuk tahun 2024, Waheeda dan Skyson PR menjangkakan untuk menghasilkan lagu-lagu baharu yang menampilkan beberapa vokalis terbaik Malaysia. Mereka kini sedang berbincang untuk berkolaborasi dengan beberapa penyanyi yang berada di carta terunggul.

Istimewanya, peminat Waheeda dijangka dapat mendengar single baharu penyanyi ini pada suku pertama tahun 2024.

Waheeda memulakan kerjayanya pada tahun 2002 dengan lagu duet Musytaqun bersama Yasin Sulaiman dan mencapai kemasyhuran dengan single pertamanya, Wassini pada tahun 2003, yang memenangi kategori Irama Malaysia di Anugerah Juara Lagu 2003.

Penyanyi ini menghasilkan banyak lagu yang menggabungkan unsur-unsur kepelbagaian etnik dunia dengan sentuhan moden seperti Now I Do, Melodi Ahlan, Sindiran dan banyak lagi.

Tidak hanya itu, dia juga pernah melibatkan diri dalam bidang lakonan dengan membintangi beberapa filem termasuk Jutawan Fakir, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan I Know What You Did Last Raya- 7KLIK  


[KREDIT: Skyson PR Management]























Post a Comment

0 Comments