17 Jul 2020

DRAMA BAND, JANGAN BIKIN KERJA TUHAN



DRAMA Band merupakan sebuah band yang amat sinonim dengan keberanian dan kelantangan mereka bersuara menerusi karya-karya mereka. Selepas kejayaan single Drama yang layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-34, Drama Band kini sedang giat menghasilkan lagu-lagu untuk menyempurnakan album mereka.

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Drama Band telah menghasilkan single Kayangan berkenaaan isu kluster COVID-19 dan single Bertahanlah yang dicipta sebagai tanda penghargaan buat pejuang barisan hadapan yang berkorban demi masyarakat. 

Kini, Drama Band tampil pula dengan JBKT (Jangan Bikin Kerja Tuhan) yang menyentuh tentang isu semasa secara umum dan menyeluruh.

Terhasilnya JBKT (Jangan Bikin Kerja Tuhan) menunjukkan sisi nakal Drama Band mengutarakan pendapat mereka berkenaan isu semasa. 

Mesej utama JBKT ini menyeru semua untuk sentiasa muhasabah diri dan tidak menghukum seseorang atau sesuatu kerana ia diluar bidang kerja kita sebagai hamba di muka bumi ini. 






Pengajaran yang disampaikan melalui single JBKT ini berkaitan dengan sepotong ayat dalam Surah Al-Isra’, ayat ke 85, yang membawa maksud;

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. 
Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku. Dan tidaklah kami diberi pengetahuan melainkan sedikit..”


Satu fakta menarik tentang JBKT adalah tempoh proses penyempurnaan lagu yang hanya mengambil masa 2 hari sahaja di ARE Studio. Manakala, pembikinan muzik video JBKT oleh ETE Production di 97 Art Studio dan penyuntingan muzik video oleh Fiq Bob juga dalam tempoh 2 hari. 

Keberanian Drama Band menghasilkan konsep muzik video yang masih kontroversi tetapi mengingatkan kita kepada kematian selain menggambarkan yang kita semua dari tempat yang sama dan akan pulang ke tempat yang sama.

Untuk pengetahuan, JBKT merupakan karya dari Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir & Padel Lecki. Manakala lirik lagu JBKT adalah sepenuhnya dari Aepul Roza. JBKT telah diterbitkan oleh MVM Production dan ARE Studio.

JBKT telah dilancarkan pada 9 Julai 2020 di laman YouTube MVM Music dan telah memperoleh lebih 60 ribu tontonan setelah dilancarkan di YouTube MVM Music selama kurang dari 24 jam. JBKT boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify,Joox dan sebagainya.

Single JBKT ini akan menjadi salah satu lagu didalam album Drama daripada Drama Band yang dijangka akan mula dijual pada akhir tahun ini. Album Drama ini juga akan mengandungi lagu-lagu hit seperti Drama, Satu-Satu, Kayangan, Bertahanlah, Koyak dan lain-lain lagi.

Akhir sekali, pihak MVM Production berharap agar rakan-rakan media dan penggemar muzik tempatan dapat memberikan sokongan padu kepada Drama Band untuk mereka terus menghasilkan karya-karya yang segar dan relevan seiring peredaran zaman. 


[KREDIT: MVM Production]

Tiada ulasan:

Catat Komen