Hot Posts

6/recent/ticker-posts

NICO G SEDIA UNTUK MENGGEGARKAN NEGARA DENGAN 'SIAGA'




SELEPAS menggamatkan industri hiburan tempatan dengan pelancaran lagu berjudul ‘KGB’, hari ini NICO G telah menayangkan secara rasmi video muzik 'Siaga', lagu kedua yang turut dimuatkan dalam album Black Edition Vol. 1. 

Biarpun dua buah lagu dan video muzik telah diperkenalkan sewaktu majlis pelancaran yang diadakan pada 9 Oktober 2019 yang lalu, namun apabila menyedari reaksi luarbiasa yang diterima daripada peminat-peminat serta pendengar-pendengar muzik tempatan terhadap lagu dan video muzik ‘KGB’, NICO G telah menunda tayangan video muzik 'Siaga' untuk tontonan umum. 

Langkah tersebut dianggap strategi terbaik bagi mengambil kesempatan atas sambutan hangat terhadap lagu ‘KGB’ dan menyimpan karya istimewa 'Siaga' ke satu tarikh yang lebih sesuai. Namun begitu, NICO G tetap meneruskan aktiviti publisiti bagi album Black Edition Vol. 1 ke program-program televisyen dan stesen-stesen radio dengan mempromosikan kedua-dua buah lagu sekaligus seperti perancangan awal.

'Siaga', yang bermaksud siap sedia, adalah lagu ciptaan bersama NICO G dengan kumpulan Lawalah Familia iaitu Sabbala, KC dan Muariffah. Video muzik 'Siaga' berdurasi lima minit telah diterbitkan secara usahasama antara NICO G Entertainment dan Didz Squad Studio dengan mengetengahkan konsep drama muzikal dengan tema dan suasana ala mafia Itali. 

Di dalam video muzik 'Siaga'  peminat-peminat dapat menyaksikan M.D. Nico, Dino G dan Affa melakonkan watak sambil mengucapkan lirik lagu 'Siaga' secara nyanyian. Konsep yang pertama seumpamanya ini hanya mengambil masa penggambaran selama tiga jam dan diadakan di butik milik pereka terkenal Bon Zainal, di Sri Hartamas. 

Satu lagi kelainan yang ditonjolkan di dalam video muzik kali ini adalah penampilan M.D. Nico, Dino G dan Affa dengan pakaian sut tajaan Bon Zainal yang turut memberikan sentuhan peribadinya merias dan menggayakan setiap ahli NICO G dalam video muzik ini. 

Post a Comment

0 Comments