26 Okt 2019

DRAMA ADAPTASI CERPEN PENDOA YANG IKHLAS, AHAD INI DI TV1


KERJASAMA Radio Televisyen Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam menerbitkan drama adaptasi diteruskan dalam karya Pendoa Yang Ikhlas yang bakal menemui penonton pada 27 Oktober ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1. 

Pendoa Yang Ikhlas merupakan sebuah drama yang di adaptasi daripada cerpen karya Haji Azizi Haji Abdullah ini mengisahkan tentang kehidupan Haji Tamin sebagai seorang iman dan jurunikah. Selain itu, beliau juga sangat aktif dengan aktiviti-aktiviti politik. 

Oleh kerana sibuk dengan tugas dan minatnya terhadap politik, urusan keluarga dan anak-anak digalas oleh isterinya yang sentiasa menyokong minat dan kecenderungan beliau. 

Akan tetapi, langit tidak akan selalu cerah. Kematian isterinya sedikit sebanyak mengubah perjalanan hidup beliau. Anak-anak mula mengatur kehidupan beliau yang mana semakin hari dimamah usia. Apakah yang membuatkan Haji Tamin terlalu berat hati ingin meletakkan jawatan sebagai imam dan jurunikah?

Mengangkat latar masa sekitar tahun 1980an, drama arahan Wan Afzam Wan Daud, Unit Drama TV RTM ini mengetengahkan gandingan watak utama Haji Tamin lakonan Bohari Ibrahim, Aziz (Zahiril Adzim), Kak Limah (Adibah Noor), isteri & ibu (Fatimah Abu Bakar), Karim (Azman Hassan) dan Nasir (Che Kem).

Menganggap telefilem arahannya yang satu ini bukannya mudah, pengarahnya, Wan Afzam Wan Daud berdepan cabaran dalam ‘menghidupkan’ jalan cerita naskhah ini dan perlu ‘setia’ dengan cara pemikiran Haji Azizi Haji Abdullah yang menghasilkan cerpen ini. 

Begitu juga dengan cabaran meletakkan latar masa 80an, juga pemilihan lokasi rumah berdepan dengan masjid yang bersesuaian dimana terpaksa melakukan beberapa kali perubahan lokasi. Namun paling utama katanya tentang penerimaan pembaca yang mengikuti karya cerpen ini. 

Beliau tetap positif mengatakan perbandingan antara cerpen dan drama arahannya ini akan diterima dengan hati terbuka.

Dalam majlis pratonton telefilem ini yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini, Unit Drama TV RTM menjanjikan bahawa RTM akan terus menerbitkan karya yang mengetengahkan idea dan elemen yang sangat terpinggir namun dekat dengan masyarakat Malaysia. 




Sinopsis 

Pendoa Yang Ikhlas mengisahkan tentang rentetan perjalanan hidup Haji Tamin yang merupakan seorang imam dan jurunikah di sebuah kampung. Selain daripada tugas-tugas sebagai imam dan jurunikah, beliau juga sangat aktif bergiat dalam aktiviti politik setempat dan luar kawasan. 

Beliau yang telah berkahwin dan mempunyai empat (4) orang anak sangat dikagumi dan dihormati oleh masyarakat setempat disebabkan kepimpinan dah kewibawaan beliau dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Haji Tamin yang sering sibuk dengan tugas hakiki sebagai imam dan jurunikah politik turut mendapat sokongan daripada isterinya. Isteri yang selalu ada untuk melengkapi segala kelemahan dan kekurangan beliau dalam menguruskan hal rumahtangga dan anak-anak. 

Taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan suami menjadi tauladan kepada anak-anak yang sentiasa mengidolakan ibu mereka.

Langit tidak akan selalunya cerah. Kebahagiaan yang dimiliki mereka sekeluarga sedikit goyang apabila ibu yang sentiasa menjadi pelengkap dalam hidup mereka sekeluarga dijemput ilahi. 

Haji Tamin antara yang paling terkesan dengan pemergian insan tersayang. Insan yang sentiasa bersamanya diwaktu susah dan senang. Yang sentiasa melengkapi segala kekurangan beliau.

Sejak kehilangan isteri yang sentiasa menggalas tugas beliau sebagai ketua keluarga, kehidupannya mula tidak keruan. Faktor usia yang semakin meningkat turut menjadi punca kekusutan hidup. 

Limah, anak sulung dan merupakan satu-satunya anak perempuan Haji Tamin mengambil alih tugas menguruskan makan minum beliau sejak pemergian ibunya.

Hari demi hari, anak-anak mula mencorak perjalanan hidup Haji Tamin. Aziz merupakan anak bongsu keluarga adalah yang paling berani menyuarakan sebarang cadangan kepada bapanya. 

Bermula dengan penglibatan bapanya dengan dunia politik yang dianggap sebagai sesuatu yang tidak pernah menghasilkan sebarang keuntungan, pengaruh masyarakat setempat yang menganggap bahawa bapanya sudah tidak releven lagi untuk menjadi imam dan jurunikah di kampung itu .

Ia menjadikan mereka adik-beradik tidak senang duduk dan mencari jalan terbaik untuk meminta bapa mereka berhenti dari melakukan pekerjaan yang telah lama membebani bapanya itu. Mereka mula merancang pengakhiran yang terbaik untuk Haji Tamin. Namun apakah kesudahannya?



PENDOA YANG IKHLAS
Bahasa: Melayu
Tarikh Siaran: 27 Oktober 2019
Hari: Ahad 
Masa: 8 Malam 
Saluran: TV1 
Arahan: Wan Afzam Wan Daud     
Pelakon: Bohari Ibrahim, Zahiril Adzim, Adibah Noor, Fatimah Abu Bakar, Azman Hassan dan Che Kem.

[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan