Hot Posts

6/recent/ticker-posts

PENTAS FANTASTIK 4 BERMULA DI RADIO DAN DIGITAL HOTFM!


FANTASTIK 4 adalah sebuah pentas realiti di radio dan digital Hot FM yang akan bermula 5 Mac ini, selama lima minggu. Menampilkan nama penyanyi yang semakin meningkat naik seperti Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Naim Daniel dan Ara Johari. 

Pengisian kali ini berkonsep nyanyian dan ia akan diadili juri tetap, Edry Abdul Halim yang akan ditemani juri jemputan pada setiap minggu. Sistem pemarkahan terbahagi kepada dua bahagian iaitu, 50% daripada panel juri dan 50% daripada undian atas talian. 

Untuk mengundi, pendengar boleh ke laman web rasmi stesen Hot FM di www.hotfm.com.my. Undian atas talian hanya dibuka pada hari Isnin jam 11.00 malam dan akan ditutup pada hari Ahad tepat jam 11.59 malam. 

Juara bakal merebut hadiah utama berjumlah RM20,000 beserta trofi dan sekiranya mereka menjadi pilihan juri untuk ‘Artis Paling Fantastik’ minggu itu, mereka akan membawa pulang RM5,000. Turut menampilkan Shuk, Ajak dan Fizie sebagai pengacara. 

Pada minggu pertama, Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Naim Daniel dan Ara Johari akan menyanyikan sebuah lagu solo dan sebuah lagu duet. Pihak pengurusan Hot FM akan memberi tugasan lagu yang berlainan setiap minggu dan ini adalah cabaran untuk mereka bagi memberikan persembahan yang fantastik bagi menggondol hadiah utama. 

Misha Omar telah diundang sebagai juri jemputan yang akan bersama Edry bagi menilai persembahan mereka selain membuat persembahan pada malam tersebut.




Wany Hasrita: Rintihan Rindu
Haqiem Rusli: Jatuh Bangun
Ara Johari: Bunga
Naim Daniel: Sekali Lagi
Wany Hasrita & Haqiem Rusli: Aku Cinta (Syamel & Ernie Zakri)
Ara Johari & Naim Daniel: Selamanya Cinta (Alif Satar & Shila Amzah)


“Fantastik 4 kembali lagi tahun ini dengan 4 artis yang mempunyai bakat fantastik. Kalau tahun lepas Hot FM membawakan Aiman Tino, Sufian Suhaimi, Tajul & Khai Bahar sebagai Fantastik 4, untuk tahun 2018 ini pemilihan untuk artis agak sukar kerana ramai yang berbakat. 
Namun setelah mengambil kira dari pelbagai aspek, 4 artis fantastik yang dipilih pada tahun ini adalah Wany Hasrita, Naim Daniel, Ara Johari & Haqiem Rusli. Kelainan bagi tahun ini juga adalah, mereka akan bertanding di pentas nyanyian Fantastik 4 secara langsung di Facebook Hot FM, selain daripada cabaran video yang akan diberikan.” jelas Ainul Farhana, Ketua Program Hot FM.

“Pemilihan ini adalah berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang nyanyian. Seperti yang umum ketahui, Wany Hasrita, Ara Johari dan Haqiem Rusli adalah finalis AJL 32 dan kebolehan mereka dalam nyanyian memang tidak boleh disangkal, tambahan pula, Haqiem Rusli adalah pemenang tempat ketiga. 
Manakala, Naim Daniel adalah antara selebriti yang serba boleh, selain berbakat dalam lakonan, beliau baru menceburi bidang nyanyian dan single pertama yang berjudul ‘Sekali Lagi’ telah mendapat jumlah tontonan melebihi satu juta. 
Pihak Hot FM percaya Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Naim Daniel dan Ara Johari mampu membawakan persembahan yang fantastik setiap minggu dengan kebolehan vokal masing-masing.” tambahnya lagi.

Post a Comment

0 Comments