6 Mac 2018

SUAMI ZIANA ZAIN, ARMIN ZAHARIN DIDAKWA SEBABKAN KECEDERAAN PADA ANAK


DUNIA hiburan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, atas tuduhan mencederakan anak lelakinya.

Mengikut pertuduhan, Armin, 53, bekas Pramugara Kanan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang kini tidak berkerja didakwa telah menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan di kediamannya di Denai Alam, pada jam 4 pagi, 25 Februari lalu.

Armin, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.

Terdahulu, Armin ketika membuat rayuan, memaklumkan perbuatan itu dilakukan dengan tujuan mengajar anaknya itu mengaji dan bersolat.

"Saya tidak dera anak. Saya ajar dia mengaji dan solat, tetapi dia tidak faham dan bebal. 
"Saya bertanggungjawab terhadap empat anak selain mempunyai emak yang sakit dan perlu menghantarnya ke hospital," katanya.



Raja Noor Adilla kemudiannya menurunkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin. 

Bagaimanapun, Armin tidak mempunyai penjamin dan difahamkan Ziana tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, laporan polis itu dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan pada Jumaat lalu. 

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Kes akan disebut semula 4 April ini.


[SUMBER BERITA: BERITA HARIAN]

Tiada ulasan:

Catat Komen