Hot Posts

6/recent/ticker-posts

BIODIVERSITI ALAM SEMULA JADI, JUNGLE PLANET



SETIAP hidupan di muka bumi ini bergantung antara satu sama lain untuk meneruskan hidup. Biodiversiti adalah satu komponen penting dalam alam semula jadi bagi mewujudkan sistem biologi yang sihat. 

RTM mengajak orang ramai menyelami ekosistem alam semula jadi dalam siri dokumentari terbaharu bertajuk “Jungle Planet” yang mula bersiaran pada 15 Februari, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 tengah hari menerusi saluran TV1. 

Program setengah jam ini membawa penonton mengkaji sistem ekologi, habitat, dan pergantungan di antara haiwan, manusia dan alam semula jadi yang mewujudkan keseimbangan serta kemusnahan yang berlaku kepada alam sekitar hasil daripada aktiviti-aktiviti manusia yang sering menyebabkan kepupusan flora dan fauna dan gangguan kepada keseimbangan itu.

Episod pengenalan menonjolkan evolusi dunia khususnya alam sekitar yang telah membolehkan kehidupan flora, fauna, dan manusia yang dapat hidup bersama dalam habitat yang seimbang dan dikongsi bersama. Ada yang memburu dan diburu tetapi hidup dalam keadaan rantaian makanan yang seimbang. 

Turut memaparkan hidupan liar dan serangga di seluruh pelusuk dunia yang jarang diterokai oleh manusia. Antaranya orangutan, beruang dan kelawar di hutan tebal Borneo, badak di Kruger Park, Afrika Selatan, haiwan-haiwan unik di Madagascar dan Pulau Canary. Evolusi alam semula jadi ini terus berlaku sejak 11 juta tahun lagi.  

Seterusnya penonton dibawa menyelusuri hutan bakau di Asia Tenggara khususnya di Malaysia dan Indonesia. Hutan bakau mempunyai adaptasi yang unik kerana boleh hidup dalam air laut di tepi pantai. 

Hutan bakau menjadi habitat kepada pelbagai jenis monyet dan beratus ratus jenis haiwan kecil seperti ular, serangga, lebah, ketam, belangkas dan belacak. Kebanyakan haiwan ini dapat menyesuaikan kehidupan mereka mengikut pasang surut air laut. Buaya juga hidup di hutan bakau dan biasanya memburu monyet. Hutan bakau membantu menahan hakisan pantai. 

Selami kehidupan flora dan fauna di hutan kepulauan Macaronesia yang dikenali sebagai “Laurel Forest”, merupakan hutan sub-tropika antara yang tertua di dunia. Kepulauan ini terdiri daripada pulau Azores, Canary dan Madeira di lautan Atlantik dan hutan tropika di sini berusia lebih daripada 15 juta tahun. 

Angin perdagangan berwap (trade winds) yang sentiasa bertiup di kawasan ini menyebabkan hutan ini menjadi subur. Hutan subur dan bukit bukau menjadi habitat burung-burung migrasi yang terbang dari benua ke benua. Flora dan fauna juga telah bertukar menjadi spesies berlainan mengikut peredaran zaman. 

Turut dikongsikan bersama penonton tentang impak matahari ke atas tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Flora dan fauna perlu menyesuaikan diri dengan suhu panas matahari dan sewaktu kemarau. Madagascar tengah yang berbukit-bukau menjadi kering-kontang semasa kemarau dan tidak banyak tumbuh-tumbuhan sehingga musim hujan. 

Reptilia di sini perlu bertahan dengan cuaca panas berpanjangan manakala burung-burung cuba hidup dalam keadaan air yang berkurangan. Haiwan yang biasanya makan daun dan sebagainya mula makan serangga semasa musim kemarau kerana kekurangan tumbuh-tumbuhan. 

Lain pula dengan kehidupan tumbuh-tumbuhan dan haiwan di kepulauan Canary, di utara Afrika Selatan. Kepulauan Canary terbentuk daripada batu lava berusia 135 juta tahun dan dipenuhi dengan pokok-pokok ‘Pine’ dan ‘Conifer’ yang bersesuaian dengan iklim sejuk dan pergunungan. 

Tanah di sini berasid dan tidak sesuai untuk tumbuhan lain tetapi terdapat pokok-pokok kecil yang berbunga menjadi tarikan kepada pelbagai serangga, kadal dan burung-burung seperti burung Canary. Burung Helang tinggal di celah-celah bukit-bukau. Kepulauan ini sering diselubungi dengan awan yang melembapkan tumbuh-tumbuhan dan menjadi punca air sungai dan air terjun.

Episod seterusnya mengajak penonton ke hutan Costa Rica, Amerika Tengah, yang merupakan salah satu hutan hujan tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa. Lima puluh peratus daripada hutan di dunia terdiri daripada hutan hujan tropika. Sebahagian hutan ‘Mediterranean’ adalah hutan pokok ‘Pine’ yang terbentang dari Sepanyol ke Turki. Di Andalusia, hutan pokok ini tumbuh hingga ke hujung tepi laut.

Namun, aktiviti manusia seperti pembangunan perumahan, industri, pengangkutan dan pertanian yang tanpa had kian mengancam sistem ekologi dijangka akan menyebabkan tiga puluh peratus daripada haiwan tropika pupus. 

Hutan menyimpan banyak rahsia ramuan herba atau perubatan semula jadi. Manusia juga menyebabkan kebakaran hutan yang merugikan. Sudah tiba masanya manusia menilai semula semua tindakan yang memusnahkan alam semula jadi yang juga menyokong kehidupan manusia itu sendiri.



Jungle Planet 
Hari: Isnin-Khamis
Masa: 1.30 Tengahari
Saluran: TV1 


Post a Comment

0 Comments