Hot Posts

6/recent/ticker-posts

MISI MENYELAMAT PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT


MEMAPARKAN kisah seorang bekas agen perkhidmatan rahsia Amerika Syarikat yang menghadapi pelbagai cabaran dalam misi untuk menyelamatkan Presiden Amerika Syarikat ketika berlaku pencerobohan di White House. 

RTM membawakan tayangan filem Olympus Has Fallen pada 20 Februari ini, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2. 

Filem arahan Antoine Fuqua ini membariskan pelakon hebat seperti Gerard Butler, Morgan Freeman, Aaron Eckhart, dan Finley Jacobsen. Menjanjikan babak-babak mendebarkan yang pastinya membuat penonton tidak keruan untuk mengetahui kesudahan ceritanya. 

Mike Banning merupakan seorang agen perkhidmatan rahsia untuk Presiden Amerika Syarikat, Benjamin Asher. Selepas terlibat dalam kemalangan kereta yang mengorbankan isteri Presiden, Mike telah ditukarkan ke jabatan lain. 

Konflik mula tercetus apabila Presiden Asher menerima kunjungan hormat daripada Presiden Korea Selatan di White House. Mike secara kebetulan berada di situ atas jemputan rakannya.




Ketika itu, berlaku serangan pengganas daripada gerila Korea Utara yang menyamar dalam rombongan presiden Korea Selatan. Serangan bermula di luar kawasan White House di mana dua buah jet Amerika Syarikat ditembak jatuh oleh pengganas. 
Kemudian pihak musuh mula menembak secara rambang kepada orang awam dan menuju ke arah White House. Presiden Asher dan Presiden Korea Selatan dibawa ke tempat yang lebih selamat. 

Mike yang melihat keadaan huru hara itu dari pejabatnya meluru ke arah orang awam untuk menyelamatkan mereka. Sementara Presiden dibawa ke tempat selamat, Mike berlari ke dalam White House. 

Misi Mike bukan sahaja untuk membebaskan Presiden, dia juga perlu menyelamatkan anak Presiden, Connor, yang juga berada di dalam White House ketika serangan berlaku. Mike menyelinap ke dalam White House tanpa pengetahuan musuh. 




Ketika rakan-rakan Mike terkorban dalam serangan tersebut, hanya tinggal Mike seorang sahaja yang berjuang berbekalkan kemahirannya tentang selok-belok White House. Kehadiran Mike dapat dihidu oleh pihak musuh dengan bantuan rakan seperjuangan Mike sendiri, Forbes. 

Semakin menarik apabila Mike mendapat tahu Forbes merupakan seorang pembelot dan bersekongkol dengan pihak musuh. Mereka bergelut dan Forbes terbunuh.  Tanpa bantuan dari luar, Mike menghapuskan seorang demi seorang pengganas tersebut.

Namun adakah misi Mike menyelamatkan Presiden dan anaknya berjaya? Bagaimana dia mahu menewaskan semua pengganas tanpa bantuan? Ikuti pengakhiran kisah ini di TV2. 



Olympus Has Fallen
Tarikh Siaran: 20 Februari 2018
Hari: Selasa
Masa: 9.30 Malam 
Saluran: TV2
Arahan: Antoine Fuqua
Pelakon: Gerard Butler, Morgan Freeman, Aaron Eckhart, Finley Jacobsen

Post a Comment

0 Comments