10 Nov 2017

MINGGU KETIGA, UJI KEBERANIAN PESERTA GV4 KELUAR ZON SELESA


KONSERT kedua Gegar Vaganza (GV4) bertemakan ‘Sekali Dengar, Melekat!’ Ahad lalu menyaksikan peserta tunggal yang berasal dari Singapura, Ferhad menjadi peserta pertama tersingkir untuk musim ini. 

Pada konsert berkenaan, nasib tidak menyebelahi Ferhad yang telah menyanyikan lagu Harus Terpisah nyanyian asal Cakra Khan apabila gagal memikat hati juri sehingga menerima markah terendah daripada dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang berserta juri undangan Datuk Jalaluddin Hassan.

Pusingan kedua ini juga menyaksikan persembahan memukau oleh Liza Hanim yang membawakan lagu Aku Hanya Pendatang dengan cukup baik sehingga menerima ‘standing ovation’ daripada Tok Ram dan Ibu Hetty sekaligus meletakkan beliau di kedudukan teratas dengan markah keseluruhan sebanyak 83.8 %. 

Haida turut menyerlah dengan lagu Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan berada di tempat kedua dengan markah 72.9%. Persembahan Haida juga mendapat pujian pihak juri yang berpendapat bahawa beliau menunjukkan peningkatan yang luar biasa untuk minggu ini. 

Penghayatan dan kawalan vokal mantap yang dipamerkan oleh Hazami untuk lagu Setengah Mati Merindu pula meletakkan beliau di tangga ketiga dengan markah sebanyak 71.9%. 

Sementara itu, Elyana yang membawakan lagu Masih Cinta sekali lagi dipilih sebagai pemenang mingguan ‘Anugerah Gelora Vida Vaganza’ setelah menerima jumlah ‘Likes’ terbanyak di laman sosial ‘Instagram’ Penaja Platinum, Dato’ Seri Vida.




Konsert Gegar Vaganza di minggu ketiga pula bakal mengangkat tema ‘Berani Ke Idok?’ yang mana setiap bintang GV4 diberi cabaran di luar lingkungan zon selesa dengan membawakan lagu-lagu yang bukan ‘makanan’ kebiasaan mereka.

Untuk pusingan ini, Firman bakal menyanyikan lagu Zalikha yang sedang popular nyanyian asal oleh Floor 88. Hazami pula dengan lagu Joget Kenangan Terindah (Datuk Sudirman), Lan Kristal dengan 
Sayang-Sayang (Aliff Aziz), Tia Jinbara dengan Bila Resah (Anuar Zain) dan Aqasha dengan Cinta Tak Karuan (Amigos).

Manakala bintang wanita Aishah pula akan membawakan lagu Yuna berjudul Terukir Di Bintang, Liza Hanim dengan lagu Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein), Elyana dengan Wulan Merindu (Cici Faramida), Syura dengan Knock Knock (Elizabeth Tan), Haida dengan Kenangan Bersamamu (Lefthanded) dan Raja Azura dengan Perhaps Perhaps Perhaps (Pussycat Dolls).

GV4 bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil setiap Ahad, jam 9.00 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan