26 Okt 2017

WAYANG KULIT BUDAK, JADI TARIKAN DI GEMA SENI TRADISIONAL 2017


PUSAT Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA) akan membawakan persembahan wayang kulit Kelantan yang akan menemui khalayak Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2017. 

Acara ini bersempena dengan program Gema Seni Tradisional yang telah dianjurkan oleh PuTRA sejak tahun 2015. Sebagaimana penganjuran yang lalu, melalui Gema Seni Tradisional, PuTRA telah mengangkat beberapa kesenian dan tokoh-tokohnya ke pentas Kuala Lumpur. 

Program bersifat apresiasi ini cuba mendekatkan khalayak kota khususnya generasi muda mengenal dan menghayati keindahan seni budaya warisan bangsa. 




Antara kesenian yang telah dibawakan ialah Makyung dari Pasir Mas, Wayang Kulit oleh dalang cina Eyo Hock Seng, Caklempong, Dikir Barat, Gamelan, Seni Bertabik (main puteri), Ghazal, Dondang Sayang, Keroncong dan irama Melayu Asli.

Untuk persembahan wayang kulit Kelantan ini, ia bakal menampilkan seorang dalam kanak-kanak yang berusia tujuh tahun iaitu Kamarul Baihaqi bin Kamarul Baisah. Penampilan adik Baihaqi sebagai dalang ini, merupakan tampilan sulung dalam sebuah persembahan wayang kulit dengan cerita penuh dari Hikayat Rawana. 

Lebih istimewa, Baihaqi akan diringi oleh kumpulan pemuzik yang juga terdiri daripada kanak-kanak di bawah usia 15 tahun yang dibawa khas dari Kelantan. Oleh sebab itulah persembahan ini diberi nama Wayang Kulit Budak. 

Gabungan mereka ini bakal mencipta sejarah buat kesenian wayang kulit tanahair dan pastinya menjanjikan harapan positif dalam usaha melestarikan kesenian ini. 

Persembahan ini akan dilangsungkan pada hari Jumaat, 27 Oktober 2017 di Blackbox ASWARA pada jam 8.30 malam. Para penonton tidak dikenakan sebarang tiket tetapi terbuka untuk memberi sumbangan bagi pembiayaan aktiviti kesenian tradisional di bawah PuTRA.



Sinopsis  Hikayat Rawana

Persembahan ini mengambil cerita daripada Hikayat Rawana. Setelah Seri Rama dapat memanah pokok lontar 40 pokok maka ujian kedua pula ialah mencabut pokok Jelati Jawa yang dicipta oleh Maharisi untuk membuktikan siapa yang layak kahwin dengan tuan Puteri Siti Dewa.  Rawana, Anak Raja Sembilan, Anak Raja Kurang Sa 40 Dan Seri Rama mencuba nasib tetapi hanya Seri Rama seorang sahaja yang dapat mencabut pokok jelati jawa dan akan dikahwinkan dengan tuan Puteri Siti Dewi. 

Maharisi ingin mengadakan majlis perkahwinan anaknya dengan Seri Rama secara besar-besaran dengan menjemput semua rakan-rakan. Semasa Maharisi pergi membuat jemputan perkahwinan, Seri Rama sudah kehilangan kesabaran lalu telah membawa Siti Dewi balik ke dalam negeri Kuala Dua. Di dalam perjalanan balik Rawana telah membuat beberapa tipu muslihat untuk mendapatkan tuan puteri Siti Dewi. 


 


Biodata Kamarul Baihaqi Bin Kamarul Baisah

Kamarul Baihaqi Bin Kamarul Baisah merupakan anak kelahiran negeri Kelantan. Kamarul yang dilahirkan pada 29 Disember 2010 merupakan anak lelaki seorang aktivis teater terkenal, Zamzuriah binti Zahari. 

Mula memiliki kemahiran bermain alat muzik sejak berumur 1 tahun 3 bulan, di mana Kamarul sudah mula pandai mengira tempo dan rentak muzik bermula dengan bermain gong.

Mempunyai kebolehan bermain alat muzik dalam ensamble Makyung, Wayang Kulit dan Dikir Barat, selain menguasai silat, menyanyi, berlakon dan menjadi Tok Dalang Wayang Kulit Kelantan. 





Telah membuat beberapa persembahan yang besar seperti, membuat persembahan Dikir Barat di KLIA (2012), persembahan khas semasa pelancaran majlis perasmian Pusat Seni Pentas Tradisional PuTRA yang dirasmikan Datuk Seri Utama Rais Yatim (2014) dan mula terlibat dengan persembahan-persembahan kecil di rumah-rumah kenduri kahwin, majlis-majlis sambutan di kampung dan Bandar.


Antara produksi yang membawa beliau ke pentas ialah 'Jalan Primadona' di Kuala Lumpur Performing Art Centre (2014), '
Nasi Lemak Kopi O' (2015), Konvokesyen  ke-56 UMT (2016), 'Seksyen By Stesen' (2017),  Face Of Tradisions di Publika sempena hari Malaysia 2017 dan lain-lain.
Kepandaian beliau telah didokumentasikan dalam
  'Daddy, Aqi nak Jadi Tok Dalang' dan telah memenangi dua Kategori Award iaitu 'Dokumentari Ke-2 Terbaik Festival Filem Pelajar 2014' dan 'Best Documentary Asian Youth Indie Film Festival'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan