CINTA yang bermula sebagai sebuah perkahwinan diraja bertukar menjadi permainan kuasa apabila kesetiaan mula goyah dan hati memilih arah yang tidak dijangka.Berlatarbelakangkan dunia fantasi yang dipenuhi kemewahan istana, percaturan politik dan ambisi,
The Remarried Empress mengisahkan Permaisuri Navier dan suaminya, Maharaja Sovieshu dari Kerajaan Timur, yang berdepan keretakan rumah tangga selepas Sovieshu jatuh cinta kepada Rashta, seorang hamba abdi yang melarikan diri.
Diadaptasi daripada Naver Webtoon popular dengan judul sama yang telah meraih hampir tiga bilion tontonan setakat ini, drama epik romantik ini mengikuti perjuangan Navier mempertahankan maruahnya selepas Sovieshu berusaha mendapatkan hati Rashta.
Enggan berkompromi dengan kedudukannya, Navier akhirnya bersetuju dengan permintaan Sovieshu atas satu syarat, dia turut dibenarkan berkahwin semula dengan Putera Mahkota Heinrey dari Kerajaan Barat, yang merupakan pesaing kepada Sovieshu.
Keputusan tersebut membuka lembaran baharu apabila konflik peribadi mula bersilang dengan percaturan antara dua kerajaan. Dalam usaha mendapatkan kembali kuasa dan kedudukannya, Navier perlu berdepan dengan cinta, nafsu dan penyesalan yang mengancam nasib sebuah kerajaan.
Barisan Pelakon Hebat
Naskhah ini menampilkan Shin Mina sebagai Permaisuri Navier, Ju Jihoon sebagai Maharaja Sovieshu, Lee Jongsuk sebagai Putera Mahkota Heinrey, manakala Lee Seyoung membawakan watak Rashta.
The Remarried Empress diadaptasi untuk skrin oleh Yeoh Geena dan Hyun Choongyeol, manakala Cho Suwon bertindak sebagai pengarah.
Drama ini akan membuka tirainya menerusi empat episod pada 4 November, diikuti dua episod baharu setiap Rabu sehingga episod akhir pada 25 November, secara eksklusif di Disney+.
Di sebalik kemewahan istana dan percaturan kuasa, persoalan yang bakal mengiringi perjalanan ini adalah sejauh mana maruah mampu dipertahankan apabila cinta yang dipercayai mula berubah arah.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments