Nigo & G-Shock Perkenal Koleksi Souvenir Baharu Dengan Empat Karakter Unik


DALAM dunia fesyen dan reka bentuk, sesuatu objek kecil kadangkala mampu membawa cerita yang jauh lebih besar daripada fungsinya. Ia boleh menjadi simbol, karakter atau sebahagian daripada dunia imaginasi yang dibina dengan begitu terperinci.

Pendekatan itu diterjemahkan menerusi kerjasama terbaharu Nigo bersama G-Shock apabila empat karakter unik diperkenalkan dalam Nigo: G-Shock Souvenir Collection, sebuah koleksi barangan edisi terhad yang mengambil inspirasi daripada dunia imaginasi 'Casio Lab.

Koleksi ini menampilkan empat karakter ciptaan Nigo iaitu Goro, Rock, Duno dan Wang-Teng yang menjadi elemen utama dalam keseluruhan rangkaian barangan.

Konsepnya cukup menarik di mana keseluruhan koleksi dibayangkan sebagai barangan cenderamata yang boleh ditemui di 'Casio Lab',  sebuah fasiliti imaginasi yang menjadi tempat kelahiran keempat-empat karakter berkenaan.

Daripada figura koleksi kepada pakaian dan aksesori harian, setiap item membawa rekaan wajah karakter tersebut, sekali gus memberikan kesinambungan visual antara satu produk dengan yang lain.

Empat Karakter, Satu Dunia Kreatif

Antara yang paling mencuri perhatian ialah Nigo Collector’s Figure, menampilkan Goro, Rock, Duno dan Wang-Teng dalam bentuk figura yang dibungkus secara individu menggunakan pembungkusan blister.

Setiap figura boleh dipamerkan dalam pembungkusan asal atau diletakkan pada stand khasnya sendiri, menjadikannya bukan sekadar barangan koleksi tetapi juga objek yang boleh menjadi sebahagian daripada ruang peribadi.

Elemen karakter turut diteruskan pada Nigo Four Face Simple T-Shirt, yang menampilkan grafik wajah keempat-empat karakter dalam gaya berinspirasikan grafik vintaj. Simbol 'G' ikonik yang mewakili ekor karakter pula ditempatkan di bahagian belakang sebagai perincian tambahan.

Untuk aksesori, Nigo Face Pattern Bandana menampilkan cetakan keseluruhan wajah Goro, Rock, Duno dan Wang-Teng bersama logo projek. Diperbuat daripada kapas ringan, bandana ini boleh dipakai, dililit atau sekadar dipamerkan mengikut gaya dan kegunaan masing-masing.

Sementara itu, Nigo Book Tote mengetengahkan grafik karakter yang sama pada material kanvas berat 12 oz. Dengan ruang yang boleh memuatkan barangan bersaiz A4, rekaannya menampilkan pendekatan yang lebih lasak dan versatil untuk kegunaan harian.

Keseluruhan koleksi ini memperlihatkan bagaimana dunia karakter Nigo diterjemahkan merentasi pelbagai bentuk, daripada objek koleksi kepada pakaian dan aksesori yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.

Nigo dan Pengaruh Street Fashion

Bagi Nigo, pembinaan karakter dan perhatian terhadap perincian sememangnya sebahagian daripada perjalanan kreatifnya. Dia mencipta nama sejak era 1990-an menerusi pengaruhnya dalam perkembangan street fashion moden, sebelum melancarkan jenama Human Made pada 2010.

Sejak September 2021, Nigo turut berkhidmat sebagai Artistic Director Kenzo, manakala pada Januari 2025, dia memperkenalkan koleksi kolaborasi bersama Pharrell Williams untuk Louis Vuitton di Paris.

Dengan latar tersebut, Nigo: G-Shock Souvenir Collection menjadi satu lagi ruang untuknya meneroka bahasa visualnya menerusi empat karakter iaitu Goro, Rock, Duno dan Wang-Teng dalam bentuk barangan koleksi dan aksesori harian.

Lebih daripada sekadar cenderamata, koleksi ini memperlihatkan bagaimana karakter dan budaya visual Nigo diterjemahkan ke dalam objek yang dekat dengan kehidupan seharian. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments