DI sebalik kejayaan fenomena animasi Upin & Ipin yang menembusi pasaran antarabangsa, tersimpan kisah luar biasa seorang anak Malaysia yang berani mengubah haluan hidup demi mengejar impian. Perjalanan itulah yang bakal dikongsikan menerusi dokumentari
Dia episod kesembilan, menampilkan pengasas Les' Copaque Production, Datuk Haji Burhanuddin Md Radzi.
Dokumentari terbitan RTM ini menyingkap perjalanan Burhanuddin membangunkan Les' Copaque Production sehingga berjaya meletakkan
Upin & Ipin sebagai antara jenama animasi paling dikenali di rantau ini.
Lebih menarik, kejayaan tersebut bermula ketika dia memilih untuk menceburi industri animasi pada usia persaraan, meskipun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang berkenaan.
Sebelum bergelar penerbit animasi, Burhanuddin merupakan Jurutera Petroleum di Petronas Carigali Miri selepas menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Petroleum dan Gas Asli di Universiti Teknologi Malaysia pada 1982.
Pengalaman itu akhirnya membawa kepada keputusan untuk memulakan langkah baharu bersama isterinya, Datin Hajjah Ainin Ariff, apabila menubuhkan Les' Copaque Production pada Disember 2005.
Inspirasi menghasilkan
Upin & Ipin tercetus selepas dia mengembara ke beberapa negara seperti Perancis, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea bagi memahami bagaimana industri animasi dipasarkan.
Daripada pemerhatian itu, Burhanuddin menyedari karya yang paling berjaya ialah yang mengetengahkan identiti dan budaya negara sendiri, sekali gus menjadi asas kepada kelahiran siri animasi ikonik tersebut.
Mengubah Industri Animasi Tempatan
Bermula sebagai animasi pendek berdurasi lima minit,
Upin & Ipin berkembang menjadi fenomena yang diterima bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia dan beberapa negara lain. Siri ini turut mencipta sejarah apabila filem
Upin & Ipin tersenarai sebagai calon dalam kategori Filem Animasi Terbaik bagi Anugerah Akademi (Oscar) ke-92 pada 2019.
Bagi Burhanuddin, kekuatan sesebuah animasi terletak pada penceritaan yang dekat dengan kehidupan seharian dan mampu diterima oleh penonton daripada pelbagai latar belakang. Pendekatan itu membolehkan
Upin & Ipin terus relevan, selain berkembang menjadi jenama yang mempunyai peminat di seluruh dunia.
Dokumentari ini turut menyentuh perancangan masa depan Les' Copaque, termasuk usaha memperluaskan lagi jenama
Upin & Ipin serta pembangunan taman tema yang menghimpunkan pelbagai watak animasi terbitan syarikat itu.
Dihasilkan berdasarkan autobiografi
Bila Atok Ranggi Berbicara, dokumentari
Dia episod kesembilan memberi peluang kepada penonton mengenali sisi sebenar tokoh di sebalik kejayaan
Upin & Ipin, selain berkongsi nilai keberanian, kreativiti dan ketabahan dalam membina sebuah jenama tempatan yang kini dikenali di pentas antarabangsa.
Saksikan dokumentari
Dia pada 5 Ogos 2026, jam 12.30 tengah hari di saluran Okey, dengan siaran ulangan pada 10 Ogos, jam 9 malam. Dokumentari ini juga boleh distrim menerusi RTMKlik.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments