SELEPAS hampir sedekad, superstar Hong Kong, Sammi Cheng bakal kembali menemui peminat Malaysia menerusi konsert jelajah dunia, Sammi Cheng 'You & Me' In Kuala Lumpur.
Pengumuman ini sekali gus menamatkan penantian panjang peminat setia yang selama ini menantikan kemunculan semula ikon Cantopop tersebut di pentas tempatan. Keterujaan jelas terpancar di media sosial apabila peminat mula berkongsi kenangan konsert terdahulu, menyatakan rasa rindu, malah tidak sabar untuk bersiap sedia menghadapi ‘battle’ mendapatkan tiket untuk konsert ini.
Kembalinya Sammi atau nama lengkapnya Sammi Cheng Sau Man selepas hampir 10 tahun bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu momen emosional buat peminat yang membesar bersama lagu-lagunya.
Konsert jelajah dunia terbaharu itu dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 April 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, selepas kali terakhir bintang legenda ini menghiburkan peminat Malaysia menerusi Touch Mi World Tour di Genting Highlands pada 2016.
Kepulangan ini dilihat sebagai antara acara muzik paling dinanti dalam kalendar hiburan tempatan tahun hadapan. Tawaran tiket konsert You & Mi merangkumi lima kategori, dari RM288, RM388, RM688, RM988 sehingga VIP RM1,188, memberi pilihan pelbagai bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan epik ini secara langsung.
Kekal Berpengaruh
Konsert ini pastinya bukan sekadar persembahan biasa tetapi ia dijangka menjadi satu pengalaman menyeluruh menggabungkan visual dramatik, produksi pentas berskala besar serta penampilan fesyen ikonik yang menjadi identitinya sejak sekian lama.
| Penampilan dan fesyen unik Sammi sentiasa mencuri perhatian peminat |
Dalam jelajah ini, Sammi akan mempersembahkan bukan sahaja lagu-lagu hit klasik yang telah menjadikannya ikon Cantopop, tetapi juga persembahan yang menunjukkan kematangannya sebagai artis pentas bertaraf dunia dengan gabungan vokal mantap, tarian lincah dan penghayatan emosi yang mendalam.
Bintang yang kini berusia 53 tahun ini mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam industri hiburan Asia sejak akhir 1980-an sehingga kini dengan populariti yang merentasi generasi dan sempadan.
You & Mi In Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada siri konsert global terbaharunya yang turut singgah di beberapa kota-kota Asia lain seperti Macau dan Singapura, sekali gus memperkukuhkan statusnya sebagai salah seorang penyanyi Asia yang terus relevan dalam landskap muzik serantau hingga ke hari ini.
Untuk maklumat lanjut tentang jadual jualan tiket dan pengumuman istimewa lain, peminat boleh merujuk kepada saluran media sosial rasmi penganjur Media Asia Entertainment dan ACO Media. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments