Konsert MCR di Kuala Lumpur Ditunda, Jelajah Asia Tenggara Bermula November 2026


KUMPULAN rock legenda Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), mengumumkan penangguhan konsert jelajah Asia Tenggara yang asalnya dijadualkan berlangsung antara 18 April hingga 3 Mei 2026.

Penjadualan semula ini termasuk persembahan mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang sepatutnya berlangsung pada 30 April dan 1 Mei, kini ditetapkan pada 19 dan 20 November 2026.

Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram, MCR menekankan bahawa semua tarikh jelajah di Asia Tenggara hanya ditangguhkan, bukan dibatalkan.

Penjadualan semula ini dilakukan bagi memastikan kelancaran keseluruhan jelajah sambil mengekalkan komitmen terhadap peminat di rantau ini.

“Kami akan menunda tarikh jelajah Asia Tenggara ke November 2026. Semua persembahan ini tidak dibatalkan,” jelas kenyataan tersebut.

Penganjur konsert Hello Universe turut memberi jaminan bahawa semua tiket yang telah dibeli akan terus sah dan boleh digunakan pada tarikh baharu.

Bagi peminat yang tidak dapat hadir pada tarikh baharu, pilihan bayaran balik akan disediakan mengikut ketetapan pasaran masing-masing.

Selain itu, kumpulan yang dianggotai Gerard Way (vokalis), Ray Toro (gitar utama), Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bass) menegaskan bahawa persembahan lain mereka pada tahun 2026 tidak terjejas dan akan diteruskan seperti dijadualkan.

Jelajah Asia Tenggara MCR akan bermula di Singapura (10 & 11 November), Manila, Filipina (14 November) dan Bangkok, Thailand (17 November). Diikuti persembahan di Kuala Lumpur pada 19 & 20 November 2026, sebelum menutup siri jelajah di Jakarta, Indonesia (22 November 2026).

MCR kembali menggegarkan Malaysia selepas hampir dua dekad, dengan konsert terakhir mereka berlangsung pada 9 Disember 2007 menerusi The Black Parade Tour di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments