BERPEGANG kepada semangat 'Wakaf Anda, Dakwah Kami', TV AlHijrah mengorak langkah baharu apabila memeterai Perjanjian Kerjasama Wakaf Tunai bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).
Inisiatif ini memperkukuh peranan media Islam dalam mendidik, menyebarkan, serta menggerakkan ummah ke arah amal jariah yang berpanjangan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Kerjasama strategik ini membuka ruang lebih luas untuk masyarakat menyalurkan wakaf tunai melalui platform media AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah). Hasil sumbangan tersebut akan menyokong pelbagai inisiatif pembangunan ummah yang digerakkan oleh YWM di seluruh negara.
Menariknya, TV AlHijrah kini muncul sebagai media penyiaran Islam pertama di Malaysia yang mengangkat konsep wakaf tunai bukan sekadar sebagai kempen kesedaran, tetapi juga sebagai agenda kerjasama rasmi.
Langkah ini memperlihatkan komitmen stesen penyiaran itu dalam menjadikan dakwah dan kebajikan sebagai tonggak kepada pengisian programnya.
Menghubungkan Amal, Menyebar Dakwah
Melalui perjanjian ini, penonton kini boleh menjadi sebahagian daripada usaha dakwah TV AlHijrah hanya dengan satu langkah mudah, imbas kod QR yang dipaparkan di skrin televisyen atau di platform digital rasmi TV AlHijrah untuk menyertai wakaf media.
Dana yang dikumpulkan akan disalurkan secara khusus bagi membiayai penerbitan rancangan-rancangan dakwah seperti Quran@114 dan Hadith@114, dua program teras yang sentiasa menjadi nadi kepada penyampaian ilmu dan nilai Islam di kaca televisyen.
Setiap sumbangan wakaf penonton bukan sekadar amal jariah, tetapi satu bentuk penyertaan aktif dalam memperluas capaian dakwah dan menghasilkan kandungan yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, menjelaskan bahawa dalam dunia moden hari ini, ramai yang ingin berbuat kebaikan tetapi mencari saluran yang diyakini. Dengan adanya kolaborasi ini, TV AlHijrah berperanan sebagai jambatan yang memudahkan umat Islam menyertai amal kebajikan secara telus, sah dan berkesan.
“Kerjasama ini adalah titik tolak penting untuk menghubungkan masyarakat dengan peluang beramal jariah melalui medium penyiaran. Kami percaya wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi satu ibadah yang mengikat hati kita dengan Allah dan meninggalkan manfaat kepada generasi seterusnya,” ujarnya.
“Jika kita boleh melazimi sedekah harian, maka wakaf tunai adalah sedekah yang kekal memberi manfaat. Nilai kecil yang terkumpul mampu membina sesuatu yang besar demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Melalui usaha bersama ini, TV AlHijrah dan Yayasan Wakaf Malaysia yakin bahawa wakaf tunai untuk pelaksanaan wakaf media akan menjadi antara teras pengukuhan ekonomi umat Islam, selain menghidupkan budaya berkongsi rezeki dan menyalurkan keberkatan kepada masyarakat.
Sebagai media Islam arus perdana, TV AlHijrah kekal komited untuk menyampaikan mesej yang segar dan mendidik jiwa, membimbing masyarakat ke arah penghayatan nilai-nilai murni agar dakwah terus hidup dan bukan sekadar di layar kaca, tetapi juga di hati penonton. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments