TERKENAL dengan seni bina umpama labirin dan reputasi sebagai ‘kawasan bebas undang-undang’, Kowloon Walled City terus menarik perhatian pembikin filem, pengkaji sejarah dan pelancong.
Kini, semangat kota ikonik ini kembali dihidupkan dengan penuh warna warni tepat di lokasi asalnya menerusi pameran set filem Kowloon Walled City: A Cinematic Journey.
Dilancarkan pada 23 Mei 2025, pengalaman imersif ini merupakan pameran set filem terbesar pernah diadakan di Hong Kong, diinspirasikan daripada filem aksi blockbuster 2024, Twilight of the Warriors: Walled In.
Sepanjang tiga tahun akan datang, pengunjung berpeluang melangkah masuk ke set bersaiz sebenar yang mereplikasi lorong sempit dan kedai era 1980-an. Dari kedai tukang jahit dan klinik tulang, ke kedai gunting rambut serta kilang bebola ikan.
Lebih daripada sekadar penghormatan nostalgik, pameran ini turut menjadi pintu masuk kepada eksplorasi lebih mendalam kawasan Kowloon City, salah satu kawasan kejiranan yang paling menarik dan kaya dengan budaya di Hong Kong.
Pameran: Kowloon Walled City: A Cinematic Journey
Tempoh Pameran: Bermula 24 Mei 2025, selama 3 tahun
Waktu Operasi: 9 pagi hingga 7 malam (Mei – Ogos 2025) dan 9 pagi hingga 6 petang (September 2025 dan seterusnya)
Lokasi: Yamen, Taman Kowloon Walled City
Kemasukan: Percuma
Sorotan pameran termasuk replika baharu melibatkan Klinik pergigian, kilang bebola ikan, bengkel acuan plastik, bumbung sinematik 'Rooftop of Light and Shadow', papan bunga dan gerbang ikonik Kowloon Walled City.
Terokai Warisan Budaya Sekitar Kowloon City
Selepas mengunjungi pameran, luaskan lagi penjelajahan anda ke pelbagai lokasi seni dan budaya menarik di sekitar Kowloon City.
- Kuil Hau WongDibina pada tahun 1730 sebagai penghormatan kepada seorang jeneral Dinasti Song Selatan. Lihat ukiran naga, figura porselin halus dan kaligrafi Cina yang masih terpelihara rapi.
- Perkampungan Seni Cattle DepotDulu rumah sembelih, kini tapak seni alternatif Hong Kong. Temui ikon seperti Frog King, galeri kontemporari Videotage dan 1a Space, nadi seni progresif kota ini.
- Penemuan Arkeologi di Stesen MTR Sung Wong ToiTemui tinggalan Dinasti Song dan Yuan di pameran Treasures from Sacred Hill dalam Stesen MTR Sung Wong Toi. Pameran ini menampilkan artifak, peta dan foto yang merungkai sejarah perdagangan maritim dan kehidupan harian zaman silam.
| FOTO: Hong Kong Tourism Board |
Syurga Beli-Belah Unik di Kowloon City
Kawasan ini tawarkan gabungan pengalaman beli-belah dari pasar Thai hingga pusat beli-belah generasi baharu.
- Little ThailandTerokai lorong-lorong kecil di selatan Taman Kowloon Walled City untuk menemui kawasan komuniti Thai yang penuh warna-warni. Kedai runcit, salun kecantikan dan pasar mini Thai memenuhi kawasan ini – tempat terbaik untuk mendapatkan buah-buahan tropika, kek pandan, pes kari segar, snek dan makanan siap dimakan.
- AIRSIDEDibuka pada tahun 2023 sebagai sebahagian daripada transformasi berani bekas Lapangan Terbang Kai Tak, AIRSIDE ialah pusat beli-belah berkonsep reka bentuk moden dan lestari yang mentakrifkan semula pengalaman membeli-belah. Temui jenama fesyen global, butik gaya hidup tempatan, seni awam, zon permainan kanak-kanak, luncur ombak dalaman dan pelbagai pilihan makanan yang semuanya di bawah satu bumbung bergaya.
- Kai Tak MallDengan keluasan 700,000 kaki persegi merangkumi tiga bangunan moden, pusat beli-belah ini menempatkan lebih 200 kedai termasuk Adidas, Nike dan Decathlon. Ia turut menjadi lokasi EpicLand, taman pengembaraan dalaman terbesar Hong Kong untuk kanak-kanak serta lorong boling 40 jalur dan dinding panjat setinggi 17.5 meter untuk peminat aktiviti lasak.
Jadi, mulakan perjalanan anda dengan pameran set filem Kowloon Walled City: A Cinematic Journey, kemudian jelajahi sendiri gabungan unik budaya, makanan dan beli-belah di Kowloon City. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments