PROGRAM keagamaan terbitan RTM, Salam Baitullah musim ke-17, mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih hampir 5 juta tontonan secara keseluruhan.
Daripada jumlah itu, lebih 2.7 juta tontonan direkodkan menerusi saluran TV1, manakala selebihnya dengan melebihi 2 juta tontonan dicapai melalui platform digital RTM termasuk RTMKlik.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil pembaharuan kandungan dan pendekatan penerbitan yang lebih segar serta inovatif.
Menurutnya, antara pembaharuan utama ialah penerapan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan paparan holografik dalam segmen seperti Rehlah Haramain dan Muslim World, yang menjadikan kandungan lebih menarik dan interaktif.
“Kita ada juga segmen dalam bahasa Inggeris dan temubual bersama organisasi luar negara. Ini menunjukkan kandungan RTM kini bersifat lebih global,” katanya.
Suhaimi turut menekankan bahawa dengan platform OTT seperti RTMKlik, kandungan RTM kini dapat diakses oleh penonton di luar negara.
“Cabaran kami ialah mengantarabangsakan kandungan RTM, dan tahun ini pasukan kami telah berjaya melaksanakannya. Tahun hadapan, kita perlu tampil dengan idea yang lebih hebat,” ujarnya.
Musim 2025 turut menyaksikan peningkatan ketara penyertaan dalam kuiz interaktif, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Perkembangan ini membuktikan Salam Baitullah kekal relevan serta dekat di hati penonton pelbagai lapisan usia.
Pemenang Kuiz Terkumpul
Majlis Penutup Salam Baitullah 2025 yang berlangsung di Hotel Mardhiyyah turut meraikan para pemenang bagi dua kategori utama, iaitu Kuiz Terkumpul Televisyen dan Kuiz Terkumpul Media Sosial.
Pemenang tempat pertama Kuiz Terkumpul Televisyen membawa pulang dua tiket umrah, manakala tempat kedua memenangi satu tiket umrah yang mana kedua-duanya tajaan Olive House. Tempat ketiga pula menerima sebuah televisyen bersaiz 70 inci tajaan Azzuha Travel.
Bagi kategori Kuiz Terkumpul Media Sosial, tiga pemenang utama turut diumumkan. Tempat pertama menerima wang tunai sebanyak RM1,000, tempat kedua RM2,000, dan tempat ketiga turut membawa pulang RM1,000 sebagai ganjaran atas penyertaan aktif mereka sepanjang musim berlangsung.
Pencapaian Salam Baitullah 2025 menjadi bukti bahawa program keagamaan yang segar, interaktif dan berteknologi tinggi mampu mencipta impak besar, bukan sahaja di kaca TV, malah di hati penonton seluruh dunia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments