Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
DUNIA kewartawanan hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed, Penolong Editor Hiburan Berita Harian, yang menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 3 petang, Ahad, di kediamannya di Kajang, Selangor.
Allahyarham yang juga Bendahari Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM), disifatkan sebagai salah seorang figura penting dalam dunia kewartawanan hiburan tanah air.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam kewartawanan, Raja Nurfatimah, 49, bukan sekadar pelapor berita, tetapi penggerak yang sentiasa menyemarakkan industri hiburan dengan semangat dan dedikasi luar biasa.
Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti.
"Pemergian Allahyarham sangat mengejutkan kami semua. Ia berlaku terlalu tiba-tiba. Beliau tidak menunjukkan sebarang tanda sakit, malah kekal aktif dan bertenaga menyumbang idea hingga ke penghujung hayat," ujarnya.
Tambah Tengku Khalidah, Ketika hayatnya Allahyarham banyak membantu mengetengahkan bakat baharu dengan tulisan-tulisan yang mendidik, menyokong dan menghargai para penggiat seni dari pelbagai lapisan.
Raja Nurfatimah turut aktif dalam program kebajikan artis veteran serta usaha menghargai karyawan seni menerusi WHAM.
Presiden WHAM itu turut berkongsi rasa terkilan apabila impian untuk menunaikan haji bersama Allahyarham tidak kesampaian.
"Beliau sahabat seperjuangan saya sejak era 1990-an, sangat bertanggungjawab dan setia dalam perjuangan seni.
"Impian kami untuk menunaikan haji bersama pada 2026 kini hanya tinggal kenangan," kata Tengku Khalidah dalam nada sebak.
Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke tanah kelahirannya di Terengganu dan dikebumikan di Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, Kuala Terengganu, pada pagi Isnin.
WHAM serta seluruh rakan industri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Dunia seni kehilangan seorang tokoh yang dikenang kerana keikhlasan dan dedikasi. Legasi beliau akan terus hidup dalam hati insan seni yang pernah disentuh oleh kebaikan dan perjuangannya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments