Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Versi gelap Cinta Yang Paling Sempurna, bikin peminat teruja


MAHU terus mengetengahkan karya-karya yang lebih bermakna buat peminat, MonoloQue sentiasa mencari kelainan dengan menampilkan  muzik berbeza.

Terbaharu, kumpulan itu tampil dengan single Cinta Yang Paling Sempurna, yang turut menyaksikan kolaborasi bersama vokalis Margasatwa, Kimal.

Lagu hasil ciptaan LoQue dan lirik oleh Farid itu, kini dilancarkan dengan versi gelap tahun 2024. Pada asalnya, Cinta Yang Paling Sempurna dicipta dengan ‘key major’ itu telah siap digubah dengan penggunaan ‘key minor’ untuk memberikan kelainan seolah-olah seperti gaya lagu-lagu ciptaan Datuk M. Nasir dan S. Atan.

Perjalanan penciptaan lagu tersebut bermula pada tahun 2016 di antara Farid dengan LoQue, di mana ia diinspirasikan daripada band-band seperti The Mercy's dan D’lloyd yang telah banyak membentuk minat LoQue.

LoQue mula mengarang lirik lagu itu dengan menggunakan ‘key major’ ketika itu. Kemudian, pada tahun 2017 barulah Tomok dipelawa untuk bekerjasama bersama. Kerjasama itu melibatkan Penerbitan Pancasona dan Muzium Negeri Pahang.

Cinta Yang Paling Sempurna siap dan dilepaskan pada bulan Ramadan tahun 2017, diiringi rakaman Muzik Video di Rumah Api Tanjung Tuan Port Dickson. Muzik Video untuk versi asal yang diarahkan oleh LoQue itu menampilkan elemen budaya sekali gus menjadikannya penuh dengan warisan.

Pun begitu, versi terbaharu yang juga dikenali sebagai versi gelap ini menandakan detik penting kerana ia dianggap sebagai karya terakhir untuk era 'Jangan Puja Sampai Kecewa' (album kedua MonoloQue).

Idea tersebut tercetus ketika Covid-19 apabila Farid melihat peluang untuk lagu itu diberi nafas segar semula dengan sentuhan lebih magis.



Menurut LoQue, pada tahun 2021, dia berjaya menyiapkan demo versi baharu lagu Cinta Yang Paling Sempurna dengan penggunaan ‘key minor’ dan memberikan elemen seakan-akan balada Malaysia yang lebih 'gelap' kepada bunyian not muzik lagu ini.

“Lagu ini adalah salah satu lagu dengan penggunaan kord 'minor-ish' paling ketara yang pernah dihasilkan seumur hidup saya.

“Oleh kerana versi ini lebih 'gelap' daripada versi asal, pemilihan penyanyi untuk duet dilakukan dengan amat teliti oleh saya dan Farid kerana agak sukar untuk mencari penyanyi yang sesuai membawakan lagu-lagu dengan 'key minor'.

"Saya bersyukur Kimal bersetuju dengan pelawaan ini dan cemerlang dengan penyampaiannya yang tersendiri, malah dia melengkapkan kualiti yang dicari-cari. Semoga versi gelap tahun 2024 ini dapat diterima semua," ujarnya.

Sementara itu, Kimal mengakui teruja menjadi sebahagian daripada versi baharu lagu tersebut yang disifatkan begitu istimewa.

“Lagu ini dengan adalah gambaran tepat jiwa seorang hamba yang mendambakan cinta Ilahi,” katanya. - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments