Skyline Luge Kuala Lumpur kini dibuka kepada orang ramai


SETELAH lama dinanti-nantikan, Skyline Luge Kuala Lumpur (Skyline Luge KL), sebuah taman aktiviti yang mesra keluarga, mengumumkan pra-pembukaan kepada orang ramai bermula dari 9 Disember.

Hab hiburan seluas 50 ekar itu terletak di Gamuda Luge Gardens, iaitu di tengah-tengah koridor kemajuan utara Lembah Klang. Sebagai tambahan terbaharu kepada landskap hiburan bandar, ia menjanjikan pengembaraan yang sukar dilupakan untuk para pengunjung dari segenap lapisan umur.

Skyline Luge diasaskan di New Zealand pada tahun 1985, dan Skyline Luge KL merupakan yang pertama di Malaysia, serta tapak Luge yang kelapan di seluruh dunia dan yang kedua di Asia Tenggara.

Taman aktiviti ini menampilkan jumlah trek sepanjang lebih 1.6 kilometer, terdiri daripada empat trek dengan tema berbeza, iaitu Legenda, Ultra, Graviti dan Ekspres, yang setiap satunya menjangkau sehingga 650 meter.

Ciri keunikan taman ini terletak pada terowong terpanjang yang pernah dibina dalam portfolio Skyline, yang disirami lampu LED bergerak yang penuh keajaiban. Alamilah Night Luge, satu pengalaman unik dengan trek bermandikan warna-warni pada waktu malam.

Skyline Luge adalah mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur, sekali gus menyediakan satu aktiviti ideal untuk dinikmati bersama rakan dan keluarga. Selain itu, tingkatkan pengalaman anda dengan helmet RFID bebas tangan, bagi merakam semua memori indah melalui foto dan video automatik ketika anda memecut di trek.

Pengurus Besar Skyline Luge KL, Gavin Barnes berkata, Skyline Luge sentiasa di barisan hadapan dalam menyampaikan pengalaman yang inovatif dan hebat.

"Kehadiran Skyline Luge dalam landskap hiburan di Malaysia akan membuka satu lembaran yang mengujakan bagi kami. Taman aktiviti Kuala Lumpur kami menampilkan terowong terpanjang yang pernah dibina, sekali gus menetapkan piawaian baharu untuk para pencari keseronokan.

"Saya sangat teruja untuk memperkenalkan pengembaraan baharu ini kepada rakyat Malaysia. Ia menjanjikan pengalaman menakjubkan dan sukar ditandingi, yang sudah tentu akan menjadi kemuncak dalam kemeriahan landskap Kuala Lumpur,” ujarnya.

Meletakkan keselamatan pengunjung sebagai keutamaan, beberapa peraturan penting telah disediakan untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik dan lancar

Harga Skyline Luge KL bermula daripada RM20 sehingga RM80 mengikut kategori yang telah disediakan. Sementara waktu operasi pula adalah pada jam 10 pagi hingga 6 petang pada setiap Khamis hingga Selasa, manakala Jumaat, Sabtu dan Ahad pula akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Skyline Luge KL tidak beroperasi pada hari Rabu (kecuali cuti umum dan sekolah).

Selain menjadi tambahan penting kepada pembangunan Gamuda Gardens, Skyline Luge juga menjanjikan keriangan untuk semua, tidak kira para pencinta pengembaraan ataupun seisi keluarga.

Dalam suasana meriah yang dikelilingi pelbagai tarikan Gamuda Luge Gardens, pengunjung bukan sahaja dapat mengalami keseronokan Luge yang memacu adrenalin, tetapi juga tarikan FunPark yang mesra keluarga, serta Big Bucket Splash, tarikan permainan air yang menyeronokkan.

Ketiga-tiga tarikan hebat ini akan mengesahkan status Gamuda Luge Gardens sebagai satu destinasi terulung yang menyatukan pengembaraan, hiburan dan keseronokan yang tiada bandingan untuk semua peringkat umur.

Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman Luge dan mencipta kenangan manis di Skyline Luge KL bersama rakan dan keluarga tersayang.


Post a Comment

Previous Post Next Post