Malam penuh inspirasi, keajaiban muzik bersama Zainal Abidin


PENYANYI terkenal Datuk Zainal Abidin bakal tampil dengan sebuah persembahan istimewa menerusi konsert edutainment Sound Spirit Zainal Abidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit).

Persembahan unik itu akan berlangsung di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts (KLPAC), pada 20 Januari 2024 dan  menjanjikan malam yang penuh inspirasi, kisah memukau dan muzik penuh jiwa.

Sound Spirit adalah sebuah persembahan yang menggabungkan muzik dan pendidikan, yang bakal menarik peminat serta penggiat muzik serta golongan profesional dari seluruh industri muzik.

Penganjurannya bukan sahaja menjadi platform untuk membina hubungan sesama rakan seindustri, malah membuka peluang untuk organisasi yang terlibat dalam industri muzik untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

Menurut Zainal, konsert tersebut diinspirasikan untuk menarik penonton daripada pelbagai latar belakang, sama ada dalam dan luar negara, dengan menawarkan gabungan istimewa hiburan dan pendidikan.

"Persembahan ini menjanjikan sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk penonton, dengan mengetengahkan bakat, bimbingan dan kuasa keajaiban muzik.

"Dengan fokus utama kepada kumpulan pelajar dari latar belakang B40, Sound Spirit menyasarkan untuk memberi peluang kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan untuk mengalami pengalaman transformatif muzik dan seni.

"Sound Spirit telah bekerjasama dengan lima universiti tempatan terkemuka, iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti UCSI, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan Universiti Limkokwing, yang akan mempromosikan acara itu secara aktif dalam kalangan pelajar mereka, khususnya pelajar jurusan muzik," ujarnya.

Bekas vokalis kumpulan Headwind yang kini berusia 64 tahun itu percaya pendedahan kepada acara kebudayaan sebegini boleh memberi impak positif yang berpanjangan kepada kehidupan para pelajar yang hadir, di samping menawarkan inspirasi dan kegembiraan yang mungkin sukar diakses tanpa acara seumpama ini.

Malah tambah Zainal, konsert itu adalah bukti muzik sebagai satu kuasa yang mampu untuk memberi perubahan positif, menyatukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat dalam meraikan seni dan budaya.

"Kami teruja untuk menganjurkan sebuah acara yang bukan sekadar hiburan, malah ia menjadi platform untuk pembelajaran dan menjalinkan hubungan dalam industri muzik.

"Dengan melibatkan individu berbakat dan memberi tumpuan kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan generasi seterusnya dalam bidang muzik dan seni.

"Pasukan produksi Sound Spirit sedang berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa penaja berpotensi yang akan memberikan sokongan kewangan bagi menampung kos tiket konsert, demi memastikan pelajar-pelajar muzik yang kurang berkemampuan ini berpeluang untuk menghadiri acara ini," jelasnya.

Konsert Sound Spirit Zainal Abidin: The Legacy of Sound yang disokong oleh MyCreative Ventures dan rakan rasmi CIMB Artober itu akan menyaksikan Zainal sebagai peneraju utama, yang akan berkongsi pengalamannya bersama ikon muzik terkenal termasuk Michael Veerapen, Sunil Kumar, dan Steve Thornton.

Selain itu, ia turut menampilkan persembahan oleh Pija Yasin (pemenang program realiti TV, Mentor), yang merupakan protege kepada Zainal, di samping penyanyi baharu, One Juicy iaitu salah seorang Penari B-Boy Terbaik Asia dan juara program realiti Astro Ria, The Band.

Tiket konsert sudah mula dijual pada harga RM110 dan RM210 di platform atas talian https://www.cloudjoi.com/shows/zainalabidin-sound-spirit-concert. Untuk maklumat lanjut, boleh didapati di @soundspirit.zainalabidin di Facebook dan Instagram.

ARTIKEL LAIN: sony-unveils-inzone-buds-truly-wireless

[FOTO: DIDZ Squad Studios]

Post a Comment

Previous Post Next Post