MALAYSIA bukanlah destinasi asing buat Kris Dayanti, yang sudah sekian lama menjalin hubungan istimewa dengan peminat muzik di negara ini.
Setiap kunjungan membuka ruang untuk penyanyi Indonesia itu bertemu semula dengan pendengar yang terus menyokong perjalanan seninya, sekali gus menjadikan pentas tempatan sentiasa dekat di hatinya.
Keterujaan itu sekali lagi dirasai apabila Kris Dayanti bakal beraksi di Ultra Kalcer Malaysia 2026, sebuah festival muzik yang bakal menghimpunkan barisan artis dari Malaysia dan Indonesia di KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini.
Penyanyi berusia 51 tahun itu menyifatkan peluang daripada penganjur, Neptunes Presents, sebagai satu penghargaan, apatah lagi festival berkenaan turut membuka ruang kepada pemuzik dari dua negara serumpun untuk berkongsi pentas.
“Hubungan saya yang sudah terjalin dengan peminat di Malaysia sejak sekian lama juga antara sebab utama saya teruja untuk kembali beraksi di sini.
“Jadi, apabila berpeluang untuk berkongsi pentas dalam sebuah festival muzik yang menghimpunkan pelbagai pemuzik dari dua negara serumpun, pastinya saya sangat berbesar hati.
“Saya melihat kemunculan di festival muzik ini sebagai satu peluang untuk terus mengeratkan hubungan muzik dan budaya antara Indonesia dan Malaysia,” ujarnya.
Kali terakhir Kris Dayanti mengadakan konsert di Malaysia adalah menerusi Konsert Cinta Nostalgia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2025.
Mahu Cipta Kenangan Indah
Teruja menantikan pertemuan itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Menghitung Hari berkenaan berharap dapat memberikan persembahan yang meninggalkan kesan kepada peminat setianya di sini.
Baginya, kepuasan penonton menjadi antara perkara penting yang ingin dicapai setiap kali membuat persembahan, lebih-lebih lagi apabila beraksi dalam festival yang menghimpunkan pelbagai pemuzik dan kelompok pendengar.
“Saya akan memberikan persembahan yang terbaik dari segi vokal, penghayatan, tenaga mahupun interaksi dengan penonton.
“Saya mahu peminat di Malaysia pulang dengan membawa kenangan yang indah dan merasa puas serta berbaloi untuk hadir ke festival ini,” katanya.
Kris Dayanti turut memberi perhatian kepada latihan vokal, stamina dan kesihatan, selain pemilihan lagu serta susunan muzik yang bersesuaian dengan suasana festival bagi memastikan penonton dapat menikmati persembahan dan turut menyanyi bersama.
“Persembahan yang baik bukan sekadar menyanyi tetapi bagaimana kita menyampaikan emosi dan mencipta pengalaman yang meninggalkan kesan pada penonton.
Selain Kris Dayanti, festival berkenaan turut menampilkan barisan artis Indonesia dan Malaysia seperti Hindia, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes & The Moonlight Knights, Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.
Peminat yang berminat menyaksikan festival muzik selama dua hari itu masih boleh mendapatkan tiket menerusi laman web www.bbo.events.com. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
%20-%20%20(3).jpg)
%20-%20%20(2).jpg)
%20-%20%20(1).jpg)
0 Comments