PERTEMUAN tiga karakter muzik menerusi Bersua Nanti membuka ruang kepada eksplorasi bunyi yang menggabungkan elemen R&B, Hip Hop dan sentuhan Jazz.
Karya ini mempertemukan dua bakat baharu, Izama dan Suraya Yusoff, bersama rapper popular, MK K-Clique, dalam sebuah karya yang sarat dengan emosi serta ruang tafsiran.
Ilham lagu ini bermula daripada demo awal yang dihasilkan Izama bersama Wongie, yang turut bertindak sebagai salah seorang komposer. Selepas melengkapkan asas karya tersebut, Izama mempelawa Suraya untuk mengisi bahagian vokal wanita, sekali gus membuka ruang kepada susunan dan melodi yang lebih bernuansa Jazz.
“Penghasilan lagu Bersua Nanti bermula dengan demo awal yang dihasilkan oleh saya dengan Wongie. Setelah selesai, saya membuat keputusan untuk serahkan lagu ini kepada Suraya bagi mengisi ruang kosong dengan nada wanita dan duduk berbincang dengan Ali Nurazmal untuk mewarnai bait lirik dan lenggoknya,” jelas Izama.
Sementara itu, Suraya menyifatkan single tersebut sebagai karya penting dalam permulaan perjalanannya sebagai penyanyi. Selain menyumbangkan vokal, dia dan Ali Nurazmal, turut meneroka idea lirik, melodi dan susunan bagi membentuk identiti lagu tersebut.
“Ini merupakan lagu pertama yang saya nyanyikan sepenuhnya, dengan bantuan abang saya, Ali Nurazmal, dalam penghasilan lirik dan melodi.
“Saya memang sudah lama berminat dengan Jazz, jadi saya dan abang banyak meluangkan masa untuk meneroka pelbagai idea dan susunan muzik. Kami melalui banyak percubaan dan penyesuaian sebelum akhirnya menemukan versi yang dirasakan tepat ini,” ujarnya.
Menariknya, kolaborasi itu kemudiannya berkembang dengan penyertaan MK K-Clique yang mengisi verse terakhir. Menurut Izama, demo lagu tersebut pada asalnya dihantar kepada MK untuk mendapatkan pandangan sebelum respons positif membawa kepada penglibatannya dalam karya berkenaan.
“Kami memang tak sangka MK K-Clique sudi nak berkolaborasi dalam lagu ni pun. Maklumlah saya dan Suraya boleh dikatakan pendatang baharu dalam industri muzik ini. Alhamdulillah dia berminat dengan mengisi ruang verse yang terakhir bagi melengkapkan keseluruhan lagu,” katanya.
Bersua Nanti mengangkat kisah hubungan yang berdepan kehilangan, keraguan dan pencarian makna di sebalik setiap ujian. Namun, mesejnya sengaja dibiarkan terbuka agar pendengar dapat menemukan tafsiran tersendiri menerusi lirik dan muzik.
Membawa Emosi Lagu Ke Dunia Visual
Pendekatan terbuka itu turut diterjemahkan menerusi muzik video (MV) haisl sentuhan Fadhli Masoot, pengarah yang bertanggungjawab membentuk bahasa visual karya tersebut.
Bagi Fadhli, muzik video ini bukan sekadar menterjemahkan lirik secara literal, sebaliknya menggunakan simbolisme dan elemen surreal untuk menggambarkan perjalanan dalaman manusia.
“Hala tuju MV ini terarah kepada visual surreal yang menggunakan simbolism untuk menggambarkan perjalanan ringkas manusia dengan percubaan gaya sinematik.
“Tidak mahu ia terlalu literal, saya cuba eksperimen metafore visual bagi mewakili konflik dalaman manusia, godaan manusia, petunjuk jalan manusia melalui aspek warna dan lokasi,” jelasnya.
Pembikinan MV ini bagaimanapun berdepan cabaran apabila rancangan asal untuk menjalankan penggambaran di Morocco terpaksa ditangguhkan pada saat akhir. Fadhli kemudian berusaha mendapatkan sumber produksi baharu sebelum menerima bantuan JK Malatang bagi meringankan kos pembikinan.
Jelasnya lagi, proses penggambaran bersama Izama, Suraya dan MK K-Clique berjalan lancar hasil komitmen ketiga-tiga mereka dalam merealisasikan gambaran visual yang dirancang.
“Alhamdulillah, tersangatlah mudah. Seronok apabila kita yang masih baharu belajar mendapat sokongan daripada orang sekeliling yang mempunyai kesungguhan dan semangat yang jitu,” katanya.
Pada akhirnya, Bersua Nanti menyerahkan tafsiran kepada pendengar kerana setiap kisah yang didengar mungkin membawa makna yang berbeza, bergantung pada pengalaman dan rasa yang dibawa bersama. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments