Seni, Muzik Dan Nostalgia Satukan Pengunjung Di Laman Santai Seni Budaya

Sekitar kemeriahan Program Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu | FOTO: Istana Budaya 

HUJUNG minggu di ibu kota terasa lebih berwarna apabila seni, muzik dan budaya dibawa ke ruang terbuka untuk dinikmati bersama. Suasana itu dapat dirasai di Laman Beringin, Istana Budaya menerusi Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia, yang berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Ogos lalu.

Mengangkat konsep terbuka dan mesra keluarga, program ini memberi ruang kepada masyarakat menikmati pelbagai genre seni persembahan secara lebih dekat, daripada muzik, nyanyian dan tarian kebudayaan hinggalah persembahan artis tempatan serta aktiviti interaktif.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Istana Budaya, Johan Cruyff @ Md Nordin, pendekatan ini merupakan usaha untuk mendekatkan seni dan budaya kepada masyarakat dalam suasana santai dan terbuka. Katanya, seni wajar dilihat sebagai sebahagian daripada kehidupan, bukan sesuatu yang jauh atau eksklusif.

Malam pembukaan pada 28 Ogos tampil dengan suntikan nostalgia menerusi segmen tribute artis 90-an yang menampilkan Safura, Nizam Laksamana, Shima, Elly Ax'l's, Acong, Zamani Slam, Ameng Spring dan Allahyarham Joey BPR.

Persembahan turut disokong Artis Tari Istana Budaya (Artistana) dan Kombo D'Aswa, selain tarian pembukaan, muzik, nyanyian, Joget Malaysia serta persembahan khas bersempena Visit Malaysia Year 2026 (VM2026).

Seni, Budaya Dan Semangat Merdeka

Kemeriahan diteruskan pada hari kedua, seawal 2.30 petang dengan pengisian program untuk pengunjung pelbagai peringkat umur.

Bertepatan dengan semangat sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal diraikan, pengunjung disajikan dengan tarian kebudayaan pelbagai kaum, demonstrasi pembuatan tanjak serta persembahan fusion band Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Wind Quintet.

Turut melengkapkan pengisian ialah Pertandingan Busana Kemerdekaan anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Istana Budaya (Kelab KERIS), yang memberi ruang kepada pengunjung menampilkan kreativiti menerusi busana bertemakan semangat patriotik.

Pengunjung turut boleh menyertai Tarian Interaktif Kebudayaan Artistana, manakala program 'Where Art Meets Wellness with Atilia Haron' pada jam 5 petang menawarkan aktiviti senam kesihatan secara terbuka dan santai anjuran PUSPANITA cawangan kecil Istana Budaya.



Malam kemuncak bermula 8.30 malam dengan menampilkan persembahan Roy, Aris Ariwatan, Shamini Shradha, Shengkwang, Noraniza Idris dan Hussain, bersama Artistana serta Kombo D'Aswa. Segmen Chit Chat Santai bersama Ayen pula memberi sentuhan lebih interaktif, sebelum Joget Malaysia menghidupkan suasana.

Roy yang sinonim dengan lagu-lagu patriotik turut membawakan Malaysiaku Gemilang, lagu tema Hari Kebangsaan ke-50 pada 2007, bersama barisan artis lain sebelum Artistana menutup acara menerusi segmen VM2026.

Bukan sekadar pentas hiburan, Laman Santai Seni Budaya turut membuka ruang kepada ekonomi setempat dengan penglibatan sembilan food truck yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman, termasuk keropok lekor, nasi ayam goreng kunyit, laksa, bakso, murtabak, aiskrim, pai tee dan Vietnamese spring roll.

Lebih daripada sekadar hiburan hujung minggu, Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia memperlihatkan bagaimana seni dan budaya boleh diraikan dalam suasana yang lebih dekat, terbuka dan santai. Daripada persembahan muzik serta tarian hinggalah aktiviti interaktif dan sajian tempatan, program ini menjadi ruang untuk masyarakat menikmati kepelbagaian seni Malaysia sambil meluangkan masa bersama keluarga dan komuniti. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments