Pencalonan Oscars 2026: Sejarah, Kejutan & Kontroversi Jadi Bualan Hangat

Filem Sinner dan Emma Stone cipta sejarah tersendiri

PENGUMUMAN barisan pencalonan Anugerah Akademi (Oscar) ke-98 pada Khamis benar‑benar mencetuskan gelombang perbincangan di seluruh dunia.

Bukan hanya kerana nama‑nama besar dan filem yang tercalon, tetapi juga kerana senarai itu sendiri menimbulkan pertikaian, reaksi emosi dan debat hangat dalam kalangan peminat, pengkritik dan komuniti filem antarabangsa.

Daripada dominasi rekod baharu filem unggul hingga kepada ketiadaan 'calon ramalan' yang mengejutkan, Oscar tahun ini menampilkan naratif yang lebih kompleks dan penuh warna.

Momentum awal bermula dengan pencapaian luar biasa Sinners, arahan Ryan Coogler yang mencipta rekod baharu sebagai filem dengan pencalonan terbanyak dalam sejarah Oscar, mengatasi rekod lama yang dipegang Titanic, La La Land dan All About Eve.

Naskhah seram berunsur sejarah yang menonjolkan isu perkauman dengan entiti 'penghisap darah' sebagai subjek utama itu menerima 16 pencalonan dalam hampir semua kategori utama termasuk Filem Terbaik.

Mengekori rapat adalah filem One Battle After Another dengan 13 pencalonan, diikuti Marty Supreme, Frankenstein dan Sentimental Value, masing-masing dengan sembilan pencalonan, serta Hamnet menerusi lapan pencalonan.

Emma Stone pula mencipta sejarah sebagai pelakon wanita termuda yang menerima tujuh pencalonan Oscar pada usia 37 tahun, satu rekod yang sebelum ini dipegang oleh Meryl Streep. Pencalonan Stone dalam Bugonia bukan sahaja sebagai pelakon utama tetapi juga sebagai penerbit filem tersebut.

Bintang veteran Delroy Lindo, pada usia 73, mengejutkan ramai apabila menerima pencalonan pertama dalam kerjayanya menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, satu momen yang dianggap sebagai pengiktirafan tertunda terhadap bakat lakonan luar biasa yang dimiliki.

Filem dokumentari Palestin, The Voice of Hind Rajab yang turut muncul dalam senarai pencalonan juga menarik perhatian ramai, sekali gus mencerminkan penghormatan terhadap naratif global.

Naskhah arahan pengarah Tunisia, Kouther Ben Hania itu mengangkat kisah jam-jam terakhir Hind Rajab, kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terbunuh akibat serangan tentera Israel di Gaza pada Januari 2024.

The Voice of Hind Rajab 

Pencalonan kategori lain seperti Lagu Asal Terbaik juga menarik perhatian ramai, terutamanya lagu Golden daripada KPop Demon Hunters, yang mendapat tempat bersama lagu‑lagu lain yang mencerminkan diversiti muzik filem tahun ini.

Ini menunjukkan Oscar semakin membuka diri kepada pengaruh budaya pop global, membuktikan bahawa Academy kini mengiktiraf bakat dari pelbagai latar belakang muzik dan budaya.

Tercicir Daripada Pencalonan

Namun di sebalik sorotan itu, reaksi global terhadap senarai pencalonan menunjukkan bahawa ramai peminat dan pengkritik merasa keputusan ini tidak semestinya mencerminkan keseluruhan musim anugerah, terutama apabila beberapa filem dan pelakon yang diharap mendapat pencalonan akhirnya tidak tersenarai.

Salah satu nama yang menjadi buah mulut ramai ialah Chase Infiniti, yang mencuri perhatian menerusi peranannya dalam One Battle After Another.  Ramai peminat dan pengkritik percaya Infiniti adalah calon kuat, tetapi gagal tercalon dalam kategori pelakon utama, walaupun prestasinya menerima banyak pujian di Golden Globes dan Critics’ Choice Awards.

Begitu juga, Jennifer Lawrence, yang menerima liputan meluas untuk lakonannya dalam Die, My Love, turut menjadi subjek perbincangan kerana tidak tercalon sama sekali.  Pengkritik menyifatkan ketiadaan Lawrence sebagai 'snub' besar memandangkan reputasinya sebagai salah seorang pelakon paling berpengaruh dengan karya berprestasi.

Nasib sama diterima Paul Mescal, yang dilihat ramai sebagai calon kuat untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik, mengecewakan ramai apabila namanya tidak muncul dalam senarai akhir.

Situasi ini menimbulkan perdebatan hangat tentang bagaimana Academy menilai prestasi dan pengaruh seseorang pelakon di Oscar.

Tidak hanya itu, filem sekuel Wicked: For Good yang dijangka mengekalkan momentum selepas kejayaan filem pertama juga tidak menerima sebarang pencalonan Oscar. Baik dalam kategori utama seperti lakonan atau lagu asal, sekalipun barisan bintang utamanya iaitu Ariana Grande dan Cynthia Erivo menyumbang persembahan menarik perhatian sepanjang musim anugerah lain.

Filem antarabangsa seperti Homebound, No Other Choice, dan It Was Just an Accident yang mendapat liputan festival dan pujian kritikal turut mengejutkan ramai apabila gagal tersenarai.

Bagaimanapun, ada juga yang melihat ini sebagai isyarat bahawa Oscar kadangkala mengambil pendekatan berbeza daripada jangkaan pengkritik dan penonton festival.

Antara yang tercicir daripada senarai pencalonan Oscars 2026

Secara keseluruhan, pengumuman pencalonan Oscars 2026 bukan sekadar momen meraikan karya terbaik dalam filem, tetapi juga menjadi cermin kepada dinamika industri, di mana keputusan rasmi berperanan menetapkan naratif global, sekali gus membuka ruang perbincangan tentang nilai seni, penerimaan peminat dan pendekatan penilaian yang kadangkala mengejutkan segelintir pihak.

Dengan semua kontroversi, pencapaian sejarah dan persaingan sengit yang tercipta pagi ini, jelas bahawa perbincangan Oscars 2026 yang memasuki edisi penganjuran kali ke-98 itu hanya baru bermula. Masih banyak cerita akan terus diperkatakan menjelang malam anugerah yang bakal berlangsung pada 15 Mac depan di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments