Matahari Terbit Hingga Langit Berbintang: 7 Cara Unik Sambut Tahun Baharu di Western Australia

| KREDIT FOTO: Tourism Western Australia

Oleh: SORAYA AFNAN
MENJELANG 2026, tinggalkan seketika kesibukan countdown bandar dan sambut tahun baharu dengan keindahan alam semula jadi serta ruang terbuka luas di Western Australia.


Daripada matahari terbit tanpa alas kaki di pantai keemasan hingga brunch di ladang anggur di bawah langit musim panas, tiada destinasi yang lebih sempurna untuk memulakan tahun baharu dengan tenaga 'fresh' dan momen yang tidak dapat dilupakan.

Hanya enam jam penerbangan dari Malaysia, Western Australia menjanjikan permulaan tahun yang penuh dengan alam, citarasa, dan pengembaraan.

Berikut tujuh cara unik untuk menjadikan tahun baharu anda lebih istimewa:

1. Saksikan Fajar di Bluff Knoll

Tiada cara lebih indah untuk menyambut tahun baharu selain menyaksikan fajar mula menyinari puncak Stirling Range. Dengan ketinggian 1,099 meter di atas paras laut, Bluff Knoll adalah puncak tertinggi di selatan Western Australia dan antara lokasi terpilih di negeri ini yang membolehkan anda melihat kabus berputar di bawah ketika fajar.

Apabila matahari naik, landskap dihiasi rona merah jambu dan keemasan, menampilkan panorama seolah-olah dari dunia lain. Walaupun tidak mendaki hingga ke puncak, kawasan pandangan berhampiran kaki bukit menawarkan pemandangan yang sama menakjubkan, lengkap dengan kawasan berkelah dan kemudahan untuk pelancong.

Cuaca di sini boleh berubah dengan pantas, jadi pastikan berpakaian berlapis dan bertolak awal jika merancang untuk mendaki puncak. Untuk permulaan tahun yang benar-benar mengesankan, saksikan fajar indah di Bluff Knoll dan biarkan ketenangan alam membentuk nada untuk pengembaraan yang menanti.

2. Nikmati Tiram Segar di Albany

Sambut tahun baharu dengan menikmati tiram segar dari laut di Albany, di mana perairan sejuk dan bersih Lautan Selatan menghasilkan antara tiram terbaik di Western Australia.  Duduk di restoran tepi laut dan nikmati Akoya Oysters yang diternak di teluk terlindung atau Albany Rock Oysters yang segar dari pesisir berbatu, dengan hembusan angin laut menyapa.

Bagi pengalaman makan yang lebih eksklusif, Liberté di London Hotel yang bersejarah menyajikan kombinasi citarasa Vietnam dan Perancis dengan gaya Parisian, manakala Rock Salt Albany menawarkan suasana mesra tempatan, tempat anda boleh menikmati tiram segar.

Di Albany, makanan laut bukan sekadar hidangan. Dikelilingi tebing berbatu dan aroma laut, menikmati tiram segar di sini adalah cara memulakan tahun baharu dengan pengalaman kulinari yang istimewa, di mana setiap gigitan menghubungkan anda dengan keindahan selatan Western Australia.

3. Berenang Bersama Lumba-lumba di Rockingham

Tiada yang lebih menakjubkan daripada melihat lumba-lumba bermain bebas di habitat semula jadi mereka. Mulakan tahun dengan percikan di Rockingham, berenang bersama hampir 200 lumba-lumba bottlenose liar di perairan terlindung hanya sejam dari Perth. Berbeza dengan taman laut atau akuarium, makhluk ini hidup bebas, menjadikan setiap pertemuan penuh kejutan dan keajaiban.

Terjun ke air jernih Lautan Hindi dan saksikan lumba-lumba meluncur, berpusing, dan mengelilingi anda dengan rasa ingin tahu. Lawatan ekopelancongan berpandu dari Perth Wildlife Encounters, bermula dari September hingga Mac, menawarkan pengalaman berkumpulan kecil untuk berenang, snorkel, dan berinteraksi secara etika dengan mamalia cerdas ini.

Setelah kembali ke darat, luangkan masa meneroka pesona pantai Rockingham. Nikmati kopi di tepi pantai, berjalan santai di sepanjang pesisir, atau lawati Shoalwater Islands Marine Park yang berdekatan untuk melihat singa laut, penguin, dan terumbu karang yang menanti di bawah permukaan.

Di Rockingham, setiap percikan air, cahaya, dan tatapan bersama lumba-lumba menjadi peringatan betapa magisnya tahun yang menanti.



KREDIT FOTO: Tourism Western Australia


4. Brunch di Antara Ladang Anggur

Mulakan pagi pertama 2026 mengikut rentak sendiri. Tiada yang lebih mewah daripada brunch santai sambil menikmati kopi segar di bawah sinaran matahari yang hangat dan angin musim panas yang lembut di ladang anggur. Dikelilingi kehijauan dan ketenangan, ini cara sempurna untuk menghargai tahun baharu.

Lawati Leeuwin Estate dengan verandah luas yang menghadap hutan karri, atau Aravina Estate yang mesra keluarga dengan piza artisan lengkap dengan muzik hidup hujung minggu.

Di Glenarty Road, Karridale, jelajahi taman dapur dalam lawatan Where Good Things Grow. Setiap ladang menyajikan pengalaman unik yang memikat, sempurna untuk memulakan tahun baru di tengah kehijauan anggur.

5. Recharge dengan Wellness atau Perkhemahan

Mulakan 2026 dengan perlahan, sambil menyambung semula hubungan dengan diri sendiri di landskap semula jadi Western Australia. Sama ada berkhemah di bawah bintang atau retreat wellness di hutan dan ladang anggur, pengalaman ini memberikan ketenangan untuk minda dan tubuh.

Berkhemah di Conto’s Beach, Margaret River atau Boranup Karri Forest, nikmati glamping mewah bersama Olio Bello, atau terokai Kimberley dan Pilbara melalui pengalaman berkhemah bersama komuniti penjaga tanah di Imintji, Mimbi, Violet Valley, Doon Doon Roadhouse, Djarindjin, Lombadina, atau Peedamulla.

Karijini Eco Retreat di Pilbara menawarkan penginapan mesra alam di celah-celah lembah yang menakjubkan, manakala Discovery Resorts di Rottnest Island menggabungkan perkhemahan lestari dengan pemandangan laut, laluan basikal, dan peluang bertemu quokka.

6. Saksikan Matahari Terbenam di Cable Beach

Akhiri hari pertama 2026 dengan pertunjukan warna menakjubkan di Cable Beach, Broome. Pantai yang menghadap barat ini menyaksikan matahari tenggelam ke Lautan Hindi, melukis langit dengan rona merah jambu, oren, dan ungu.

Sama ada berjalan di sepanjang 22km pasir putih, menaiki bot pemandangan, atau menunggang unta di siluet senja, pengalaman ini luar biasa. Camel train ikonik yang dikendalikan Broome Camel Safaris dan Red Sun Camels menjadi pemandangan paling banyak difoto di Western Australia.

7. Langit Penuh Bintang: Berkenalan dengan Alam Semesta

Western Australia adalah syurga bagi pencinta bintang. Dengan langit terbuka luas dan pencemaran cahaya yang minima, negeri ini menawarkan pemandangan Bima Sakti, bintang jatuh, dan buruj yang sukar dilihat di bandar.

Kalbarri, dengan lembah curam dan tebing pesisirnya, adalah lokasi utama untuk stargazing. Lawatan malam berpandu mengajar tentang langit selatan, menceritakan kisah Indigenus di sebalik bintang, dan membolehkan anda menyaksikan alam semesta melalui teleskop.

Exmouth juga menawarkan pengalaman Ningaloo Stars dengan langit malam paling jelas di Australia, lengkap dengan panduan bintang, teleskop canggih, dan pemandangan terumbu karang UNESCO. Lokasi lain termasuk The Pinnacles di Nambung National Park, serta kawasan terpencil di Kimberley dan Nullarbor Plain untuk pandangan langit yang tidak terhalang.



KREDIT FOTO: Tourism Western Australia


Tahun Baharu, Pengalaman Baharu

Western Australia membuka peluang permulaan 2026 dengan pengalaman yang membangkitkan deria dan menghubungkan anda dengan alam, budaya, dan pengembaraan.

Daripada matahari terbit di Bluff Knoll hingga berenang dengan lumba-lumba liar di Rockingham, menikmati tiram segar di Albany, brunch di ladang anggur Margaret River, menyaksikan matahari terbenam di Cable Beach, dan mengagumi Bima Sakti di langit paling jelas, setiap momen menjadi peringatan tentang kemungkinan luar biasa yang menanti pada tahun baharu.

Sama ada anda mencari aksi, ketenangan, kemewahan, atau refleksi, Western Australia menawarkan kanvas sempurna untuk pengalaman luar biasa.

Luangkan masa untuk memperlahankan langkah, meneroka, dan menikmati semua keajaiban negeri yang luas ini. Mulakan tahun baharu dengan alam, citarasa, dan penemuan, biarkan 2026 bermula dengan kenangan yang kekal selamanya. Rancang pengembaraan anda di Western Australia di westernaustralia.com- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات