Disney Dominasi Asia Tenggara, Avatar: Fire and Ash Catat Pembukaan US$2.3 Juta


THE Walt Disney Company secara rasmi dinobatkan sebagai studio Hollywood nombor satu di Asia Tenggara bagi tahun 2025, menutup tahun ini dengan prestasi box office yang memberangsangkan.

Kejayaan ini dipacu oleh beberapa judul utama termasuk Zootopia 2, Thunderbolts dan The Fantastic Four: First Steps, yang muncul sebagai antara filem Disney dengan kutipan tertinggi di Malaysia.

Hujung minggu ini menyaksikan penonton tempatan merasai kehangatan dunia Pandora apabila Avatar: Fire and Ash mencatat kutipan pembukaan sebanyak US$2.3 juta (RM9.4 juta) di box office Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Disney sebagai peneraju pasaran filem antarabangsa di rantau ini.

Di peringkat global, The Walt Disney Company turut mencipta sejarah apabila berjaya melepasi kutipan box office bernilai US$5 bilion (RM20.4 bilion) sepanjang tahun 2025.

Pencapaian ini menjadikan Disney sebagai studio pertama dan satu-satunya yang mencapai angka tersebut tahun ini, selain menjadi satu-satunya studio yang melakukannya selama dua tahun berturut-turut.

Lebih mengagumkan, kejayaan ini menandakan kali ketiga Disney mencapai kutipan US$5 bilion sejak tahun 2018, satu pencapaian yang tidak pernah diraih oleh mana-mana studio lain dalam tempoh yang sama.

Antara penyumbang utama kepada momentum luar biasa ini ialah Zootopia 2, yang mencatat debut global tertinggi bagi tahun 2025, pembukaan keempat terbesar dalam sejarah box office global, serta pelancaran global terbesar bagi filem animasi dalam sejarah Disney.

Di Malaysia, Zootopia 2 turut muncul sebagai filem kedua terbesar sepanjang zaman keluaran Walt Disney Animation Studios.

Pengarah Eksekutif dan Pengurus Besar Studio The Walt Disney Company Asia Tenggara, Rachel Fong, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kekuatan penceritaan Disney yang terus relevan dan dekat dengan penonton.

“Status Disney sebagai studio Hollywood nombor satu di Asia Tenggara mencerminkan bagaimana kisah-kisah kami benar-benar memberi kesan kepada penonton.

“Hubungan berterusan kami dengan peminat di Malaysia berakar daripada penceritaan berkualiti merentasi jenama dan francais kami, dengan mesej universal seperti kekuatan komuniti dalam Zootopia 2 dan Thunderbolts, serta kepentingan keluarga dalam Lilo & Stitch dan The Fantastic Four: First Steps.

“Apa yang membuatkan penonton lebih terhubung ialah cara kami memperluaskan pengalaman menonton melangkaui layar, melalui aktivasi pemasaran setempat dan runut bunyi alih bahasa yang membolehkan peminat benar-benar menyelami dunia cerita kami, di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.

Kepimpinan Disney di box office terus diperkukuh hujung minggu ini dengan kejayaan pembukaan Avatar: Fire and Ash yang mencatat kutipan kukuh sebanyak US$2.3 juta di Malaysia.

Bagi membangkitkan keterujaan penonton tempatan dan meletakkan Avatar: Fire and Ash sebagai acara sinematik wajib tonton tahun ini, dunia Pandora dihidupkan semula dalam versi yang lebih berapi menerusi pelbagai aktivasi lapangan berskala besar dan pendekatan kreatif yang berani.

Pengalaman imersif ini berlangsung di beberapa lokasi tumpuan tinggi termasuk Sunlight Plaza, TRX Mall dan The Campus, disokong oleh paparan digital luar berskala besar yang menampilkan simbol 'A' yang membara serta kemarahan berapi Varang. Visual ini direka khusus untuk menarik perhatian sepanjang musim perayaan.

Varang menjadi teras kepada setiap pelaksanaan kempen, dengan kehadirannya yang dominan menonjolkan konflik yang semakin memuncak serta memperkenalkan perspektif baharu yang lebih gelap berbanding imej Na’vi yang selama ini sinonim dengan keamanan.

Kejayaan francais Avatar di rantau Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang baharu. Avatar dan Avatar: The Way of Water masing-masing tersenarai dalam 10 filem MPA dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Indonesia, Thailand, Malaysia dan Vietnam.

Di Singapura pula, kedua-dua filem menduduki tangga teratas box office pada tahun tayangan masing-masing, iaitu 2009 dan 2022. Avatar: The Way of Water turut mencatat sejarah sebagai filem IMAX dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Indonesia dan Thailand.

Sebagai filem ketiga dalam francais Avatar yang fenomenal, Avatar: Fire and Ash ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh dunia bermula 19 Disember 2025.

James Cameron kembali membawa penonton ke dunia Pandora dalam sebuah pengembaraan baharu yang lebih mendalam, menampilkan Jake Sully, bekas Marin yang kini menjadi pemimpin Na’vi lakonan Sam Worthington, bersama pahlawan Na’vi Neytiri yang dilakonkan oleh Zoe Saldaña, serta seluruh keluarga Sully.

Filem ini menampilkan skrip hasil tulisan James Cameron, Rick Jaffa dan Amanda Silver, dengan jalan cerita oleh James Cameron, Rick Jaffa, Amanda Silver, Josh Friedman dan Shane Salerno.

Pelakon lain yang turut membintangi filem ini ialah Sigourney Weaver, Stephen Lang, Oona Chaplin, Cliff Curtis, Joel David Moore, CCH Pounder, Edie Falco, David Thewlis, Jemaine Clement, Giovanni Ribisi, Britain Dalton, Jamie Flatters, Trinity Jo-Li Bliss, Jack Champion, Brendan Cowell, Bailey Bass, Filip Geljo, Duane Evans Jr. dan Kate Winslet.

Avatar: Fire and Ash kini sedang hangat ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh dunia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments