SELEPAS kejayaan single Yes Baby bulan lalu, penyanyi dua kali calon GRAMMY dan pemegang rekod platinum, Madison Beer, kini kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Bittersweet di bawah naungan Epic Records.
Berkongsi tentang makna di sebalik Bittersweet, Madison menjelaskan bahawa lagu itu tercetus daripada detik refleksi peribadinya, saat dia belajar melepaskan sesuatu yang pernah bermakna, dan akhirnya menemui kedamaian dalam proses itu.
“Bittersweet ialah tentang pengakhiran satu bab dalam hidup dan betapa sukarnya menerima kenyataan itu, walaupun jauh di sudut hati kita tahu ia adalah yang terbaik. Ia tentang belajar mencari ketenangan sepanjang perjalanan itu,” katanya.
Lagu itu menerima pujian daripada pelbagai media termasuk Billboard, yang menyifatkan penyanyi itu tahu bagaimana untuk menyempurnakan sebuah lagu electropop yang flirty dan menyeronokkan.
Dari ‘Yes Baby’ ke Kejayaan Global
Madison Beer bukan sekadar penyanyi tetapi juga seorang penulis lagu, penerbit dan pengarah kreatif, menjadikannya antara artis muda paling serba boleh dalam generasinya. Vokalnya yang penuh emosi dan keupayaan mencipta karya autentik menjadikan namanya sinonim dengan bakat pelbagai dimensi.
Album studio keduanya, Silence Between Songs, melayakkan Madison meraih pencalonan GRAMMY pertamanya, sekali gus mengekalkan kedudukan album itu dalam senarai Billboard 200 buat dua tahun berturut-turut, selepas kejayaan album pertamanya, Life Support.
Beberapa single seperti Sweet Relief mendapat sambutan luar biasa, malah muzik videonya mencapai sejuta tontonan dalam masa singkat, manakala Spinnin pula mencetuskan konsert jelajah global ketiganya yang habis terjual di seluruh dunia.
Jelajah itu merangkumi 60 lokasi di Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom dan Australia, termasuk persembahan di lokasi ikonik seperti Radio City Music Hall dan The Greek Theatre.
Madison turut meraih pencalonan GRAMMY kedua menerusi lagu Make You Mine dalam kategori Best Dance Pop Recording. Sejak dilancarkan pada April 2024, lagu itu menduduki tangga teratas Carta Billboard’s Dance Airplay, menandakan #1 pertama solo dalam kerjayanya.
Dia kemudiannya kembali dengan 15 Minutes, satu lagi lagu dance pop yang menjuarai carta, menjadikannya dua kali berturut-turut menduduki tempat teratas di Dance Radio.
Baru-baru ini, Madison mencatat satu lagi kejayaan menerusi Yes Baby, lagu pertamanya untuk tahun 2025, yang meraih lebih 1 juta strim Spotify dalam masa 24 jam serta menerima pujian awal daripada Rolling Stone, Billboard, PAPER dan pelbagai portal muzik utama lain.
Dengan lebih 72 juta pengikut di media sosial, dia kini menjadi antara suara paling berpengaruh dalam generasinya dan membuktikan bahawa bakat sebenar sentiasa bersinar di tengah dunia muzik yang berubah pantas. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments