BUKAN dewan, bukan pentas gah. TV AlHijrah memilih masjid, tempat ibadah dan penyatuan ummah, sebagai lokasi sambutan ulang tahun ke-15 perjuangan penyiaran Islamnya.
Buat pertama kalinya, sambutan ulang tahun stesen penyiaran Islam ini diadakan secara terbuka menerusi Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025, dari 27 hingga 29 Jun di Masjid Jamek Beserah, Kuantan, Pahang.
Kemuncak karnival akan berlangsung pada malam Jumaat, 27 Jun, menerusi siaran langsung eksklusif Hijrah Berselawat dari jam 9 malam hingga 11 malam.
Program ini menghimpunkan elemen selawat, tausiyah dan persembahan seni Islamik yang menyentuh jiwa. Ia dikendalikan oleh dua pengacara utama, Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau, dengan pendekatan santai namun penuh dengan mesej dakwah.
Barisan pendakwah yang akan mengisi program termasuk PU Rozi Harun, Ustaz Tariq Jaffri, Ustaz Hassan Basri Ali, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali dan Ustaz Nadir Al Nuri.
Sementara persembahan selawat dan nasyid pula akan disampaikan oleh Al-Maqari, Lah Ahmad, Zaff VE dan Usop Kopratasa. Gabungan ini dijangka mewujudkan suasana rohani yang menginsafkan serta memperkukuh semangat hijrah dalam kalangan penonton dan pengunjung.
Selain program siaran langsung, TV AlHijrah turut menyediakan reruai interaktif sepanjang tiga hari karnival. Reruai ini menjadi platform interaksi dua hala antara stesen dan masyarakat.
Antara pengisian menarik ialah sesi pertemuan bersama personaliti TV AlHijrah, kuiz keagamaan, permainan silang kata jawi serta edaran cenderamata eksklusif sempena ulang tahun ke-15.
Wajah sebenar
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata, sambutan ini mencerminkan pendekatan baharu TV AlHijrah dalam menyantuni masyarakat.
“Kami tidak menyambut ulang tahun ini di tempat tertutup atau hanya bersama warga dalaman, tetapi memilih untuk bersama masyarakat Indera Mahkota dalam suasana yang memperkukuh ukhuwah dan nilai Islam.
"Inilah wajah sebenar TV AlHijrah. Kami berdakwah melalui pendekatan yang mendidik, menyentuh dan merakyat. 15 tahun ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada peranan yang lebih besar.
"TV AlHijrah akan terus berkembang bukan sahaja sebagai penyiar, tetapi sebagai pemudah cara kepada masyarakat dalam membina kefahaman Islam yang progresif, rahmah dan menyatu. Kuncinya ialah kami perlu kekal dekat dengan ummah,” katanya.
Namanzee Harris mahu TV AlHijrah kekal dekat dengan ummah | FOTO: TV AlHijrah |
Karnival Al-Falah MADANI yang diadakan bersempena sambutan Maal Hijrah 1447 Hijrah turut menampilkan pelbagai program melibatkan tokoh agama, selebriti dakwah, kuliah perdana, rakaman Forum Hal Ehwal Islam, Jelajah MADANI Ulama dan Umara, sesi bantuan komuniti serta aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Program ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri Pahang dan kawasan sekitarnya, menjadikannya antara acara komuniti Islam terbesar di Pantai Timur tahun ini.
TV AlHijrah menjemput seluruh masyarakat hadir memeriahkan karnival ini. Bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai sebahagian daripada semangat hijrah.
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات