Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Naim Daniel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual, komited bersihkan nama


PENYANYI dan pelakon, Naim Daniel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Naim atau nama penuhnya Muhammad Na’im Daniel Baharin membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim M. Kunasundary dalam prosiding tertutup yang berlangsung pada Selasa.

Mengikut kertas pertuduhan, Naim didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel di Jalan Harapan, Petaling Jaya, pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu atau mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Naim telah membayar jumlah jaminan tersebut, dan mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Penyanyi berusia 28 tahun itu ketika ditemui media di pekarangan mahkamah selepas prosiding bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan kes masih di peringkat awal, dan tidak mahu mengganggu proses perbicaraan.

Namun Naim bersedia untuk bekerjasama sepanjang kes berlangsung dan komited untuk membersihkan namanya.

“Saya di sini baru saja didakwa untuk satu pertuduhan berat. Saya faham banyak persoalan dan tanda tanya yang mengejutkan sesetengah pihak.

"Buat masa ini saya belum bercadang untuk mengulas panjang kerana kita masih di peringkat awal.  Saya tak ingin ada campur aduk yang boleh mengganggu perbicaraan nanti.

"Setakat ini, saya serahkan kepada sistem pengadilan dan saya komited untuk beri kerjasama penuh bagi membersihkan nama saya. Harap semua dapat doakan,” katanya.

Terdahulu, selebriti iu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments