SEBUAH persembahan yang dijangka penuh magis, nostalgia dan keindahan seni bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 apabila Konsert Legasi P. Ramlee menemui penonton di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Tanahair Films Sdn. Bhd. yang diterajui Datuk Khairul Anwar Salleh bersama penggiat seni tersohor, Adlin Aman Ramlie, konsert ini merupakan sebuah penghormatan penuh jiwa kepada Seniman Agung Negara, sekali gus menyatukan generasi lama dan baharu melalui nadi muzik, teater dan sinematik.
Konsert ini menjanjikan pengalaman persembahan luar biasa dengan gabungan konsep klasik, kontemporari dan popular dibawakan secara teatrikal, dramatik dan sinematik.
Ia bukan sekadar penghormatan kepada lagenda seni negara, malah satu usaha memperkukuh kembali semangat dan keindahan era kegemilangan seni Melayu sebagai khazanah budaya yang kekal relevan untuk generasi kini dan akan datang.
Gabungan empat maestro muzik
Empat maestro muzik ternama tanah air iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen akan mengemudi kekuatan 60 pemuzik orkestra untuk menghidupkan lebih 30 karya agung P. Ramlee.
Susunan muzik yang dipersembahkan secara solo, duet atau medley ini akan merangkumi gaya klasik dan juga interpretasi baharu yang lebih segar, namun tetap menghormati keaslian asalnya.
Penonton bakal disajikan dengan persembahan bintang legenda dan artis popular masa kini seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainal Abidin, Ella, Liza Hanim, MimiFly dan Nadeera di mana masing-masing mengekspresikan penghargaan mereka terhadap warisan P. Ramlee menerusi nyanyian dan gaya persembahan tersendiri.
Sebagai simbol penghormatan lebih mendalam, tiga figura yang sinonim dengan persona Seniman Agung ini iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee turut tampil dalam segmen khas.
Dikenali sebagai antara 'impersonator' terkenal negara, mereka akan membawa penonton menyusuri era klasik yang penuh nostalgia melalui suara, gaya dan ekspresi yang menghidupkan kembali roh seni P. Ramlee dalam nuansa kontemporari.
Projek perdana P. Ramlee terus diperkasa
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Datuk Khairul Anwar Salleh, konsert ini merupakan inisiatif kedua dalam Projek Perdana P. Ramlee selepas pelancaran Legasi Podcast pada September 2024.
“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” ujarnya.
Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik pula menyatakan bahawa konsert ini bukan sahaja menawarkan nostalgia, malah menampilkan pendekatan segar yang mengagumkan.
“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat figura maestro muzik tersohor.
"Persembahan ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee bukan hanya dalam melodi, tetapi dalam setiap babak yang menyentuh emosi dan mengimbau kenangan,” katanya.
Konsert Legasi P. Ramlee bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi satu penghormatan mendalam kepada tokoh seni terulung negara.
Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada momen bersejarah ini. Tiket konsert boleh didapati di www.ticket2u.com.my bermula Jumaat, 27 Jun 2025. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments