Kenali 7 Zoo Peliharaan Kecil, Ladang Binatang Ternakan menarik di sekitar Selangor


TEMUI 7 zoo peliharaan dan ladang binatang ternakan terbaik di Selangor, di mana anda boleh berjumpa dengan haiwan-haiwan yang comel dari dekat.

Terdapat banyak haiwan seperti arnab yang berbulu gebu serta kuda yang jinak, tempat-tempat ini menawarkan keseronokan untuk semua.

Mari jelajahi keajaiban alam dan cipta kenangan yang tidak terlupakan dengan haiwan-haiwan yang comel dan manja ini.


1. Hussin Fauzi Farm, Kuala Selangor

Terletak di perkampungan Bukit Belimbing, Hussin Fauzi Farm adalah sebuah zoo ternakan kecil dengan harga yang berpatutan iaitu RM15 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak.

Terdapat pelbagai haiwan yang sukar ditemui seperti Llama, Alpaka, Unta dan Burung Unta. Pengunjung dibenarkan untuk melihat dan menyentuh haiwan-haiwan tersebut dengan pengawasan rapat oleh kakitangan Hussin Fauzi Farm.

Selain itu, pengunjung juga boleh memberi makan haiwan-haiwan tersebut dengan makanan haiwan yang disediakan oleh zoo dengan harga RM2.  Beberapa haiwan seperti Burung Unta, Burung Merak, Ayam dan Rusa juga akan dilepaskan bebas di sekitar kawasan dan mendekati pengunjung yang datang ke zoo.

Hussin Fauzi Farm juga mempunyai gerai yang menjual makanan dan minuman ringan untuk pengunjung yang ingin mengisi perut dan berehat.

Dengan harga yang berpatutan dan pelbagai jenis haiwan ternakan untuk dilihat, Hussin Fauzi Farm adalah sebuah ladang yang mesti dilawati bersama keluarga dan orang yang tersayang.


2. Bukit Jelutong Eco Community Park, Bukit Jelutong

Bukit Jelutong Eco Community Park adalah sebuah taman persendirian yang terbuka untuk orang ramai.

Taman ini sesuai untuk pencinta alam yang ingin melawat dan menikmati pemandangan hijau sambil mendaki bukit di sekitar taman atau beriadah di tasik. Pengunjung tidak dikenakan sebarang caj. Walau bagaimanapun, pengunjung dinasihati untuk berkunjung ke pada waktu awal pagi, memandangkan tempat letak kenderaan adalah agak terhad.

Untuk pencinta haiwan, terdapat Kambing, Itik, Burung Unta, Iguana dan Landak yang dipelihara di ladang yang ada di taman ini. Pengunjung boleh berinteraksi dan bermain dengan haiwan- haiwan, malah makanan haiwan juga disediakan dengan harga serendah RM5 hingga RM10 di pintu masuk taman.

Pengunjung boleh melawati ladang di Bukit Jelutong Eco Community Park dari jam 9 hingga 10.30 pagi untuk sesi pagi dan jam 3 hingga 7 petang untuk sesi petang.

Selain itu, pengunjung yang ingin berehat boleh melawat kafe mereka untuk menikmati makanan dan kopi yang disediakan.


3. IOI City Farm, IOI City Mall, Sepang

IOI City Farm merupakan zoo mini dalam bangunan dengan pelbagai hidupan liar, serangga, hidupan akuatik dan banyak lagi.

Terdapat Kucing Bengal, Tikus Belanda, Walabi dan Monyet Marmoset serta pelbagai lagi haiwan untuk pengunjung berinteraksi bersama dan memberi makan.

Zoo ini turut menyediakan mesin layan diri yang menjual makanan haiwan dengan harga RM10 satu paket untuk aktiviti memberi makan kepada haiwan-haiwan kecil di sini seperti Arnab, Tikus Belanda, Ikan Koi dan lain-lain.

Pengunjung juga boleh menangkap beberapa ikan kecil dengan jaring yang tersedia, sesuai untuk dewasa atau kanak-kanak. Tidak hanya itu, anda juga boleh membeli cenderahati dan barangan yang unik untuk disimpan sebagai kenangan.


4. G2G Animal Garden, Serdang

Sebuah zoo peliharaan kecil dengan lebih daripada 80 spesies eksotik. Pengunjung yang datang ke taman haiwan G2G di Serdang akan melihat pelbagai tarikan seperti burung hantu, rumah kucing, rumah terapi, taman arnab, laman ternakan kampung, santuari rusa, dan rumah reptilia.

Tiket masuk untuk warga tempatan adalah antara RM25 hingga RM35, manakala untuk pelancong berharga antara RM50 hingga RM60.

Pengunjung boleh melihat haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat, membelai dan memberi makan makanan haiwan. Antara haiwan peliharaan yang ada adalah seperti Capybara, feret, Unta, Rakun, Alpaka dan banyak lagi. Anda juga boleh memberi makan kepada haiwan-haiwan di sini dengan harga RM10 untuk satu baldi.

Selain itu, terdapat juga banyak aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak dan orang dewasa seperti menunggang kuda dengan bayaran RM8 setiap perjalanan dan aktiviti memancing ikan-ikan kecil dengan RM5 seorang. Menariknya anda boleh membawa pulang ikan yang ditangkap untuk dipelihara.


5. Just Pets Megastore, Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya

Dikenali sebagai zoo peliharaan dalam bangunan yang terbesar di Malaysia, Just Pets Megastore di Tropicana Gardens Mall di Petaling Jaya adalah kedai haiwan peliharaan dengan zoo mini dipanggil ‘Just Farm’ yang memerlukan pembayaran kemasukan sebanyak RM48 untuk dewasa dan RM38 untuk kanak-kanak.

Zoo mini ini mempunyai banyak haiwan eksotik, malah pengunjung boleh datang melihat dan memberi makan, selain berinteraksi dengan haiwan-haiwan tersebut. Antara haiwan yang ada adalah seperti Meerkat, Rakun, Tikus Belanda, Kambing Pygmy, Alpaka, pelbagai jenis Reptilia dan banyak lagi. ‘Just Farm’ juga menyediakan makanan untuk diberi kepada haiwan-haiwan tertentu dengan harga RM10 setiap baldi.

Selain itu, Just Pets Megastore juga mempunyai tempat yang dikhaskan untuk penjagaan kucing-kucing eksotik seperti Maine Coons, Munchkins, British Short Hairs dan banyak lagi yang dipanggil Just Cats. Ia dibuka dalam masa yang terhad untuk pengunjung masuk.

Bukan itu sahaja, Just Pets Megastore juga menjual pelbagai jenis ikan air tawar dan air laut, kucing, sugar glider, aksesori akuarium dan keperluan haiwan peliharaan lain.

Bagi mereka yang ingin menjamu selera, terdapat kafe Just Eats boleh didapati dalam kedai Megastore yang menyediakan pelbagai jenis makanan.

Daripada zoo mini ke kafe, pencinta haiwan peliharaan dapat menikmati pengalaman yang menyeronokkan.


6. The Mins, Kota Damansara

Terdapat lebih daripada 60 spesies yang berbeza dari Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tenggara, pelbagai jenis mamalia, reptilia, amfibia, dan ikan untuk pelawat dan pencinta haiwan lawati dan bermain bersama.

Dengan bayaran RM30 untuk dewasa dan kanak-kanak berumur empat tahun ke atas, pengunjung boleh melihat beberapa haiwan eksotik seperti Musang Canadian Marble, Prairie Dog, Kuda, dan lain-lain. Menarikya, beberapa haiwan seperti kambing dan ular juga dijual di sini.

Bagi pengunjung yang ingin berehat dan bersantai, Kafe Luckbros Kopi boleh didapati di zoo mini ini yang menyajikan pelbagai juadah tempatan dan luar negara seperti Nasi Lemak, Pasta, Mi, dan minuman yang menyegarkan.

The Mins menyediakan ruang dewan untuk menyewa, kafe dan zoo kecil yang sesuai untuk mana-mana pencinta haiwan peliharaan yang ingin menganjurkan acara di lokasi yang tersedia.


7. Farm In The City, Seri Kembangan

Farm In The City adalah ladang peliharaan yang mendapat perhatian ramai penduduk tempatan dan pelawat. Harga tiket biasa berharga antara RM48 hingga RM58. Namun warganegara boleh mendapatkan diskaun dengan menunjukkan MyKad di kaunter untuk mendapatkan tiket berharga RM32 hingga RM39.

Pengunjung boleh melihat pelbagai haiwan eksotik seperti pelbagai spesies Kura-Kura, Kambing, Alpaka, Keldai, Rusa dan banyak lagi haiwan yang berkeliaran bebas di kawasan Farm in the City. Makanan haiwan juga disediakan untuk pengunjung membeli dan memberi makan dengan hanya RM10 sebaldi.

Bukan itu sahaja, kakitangan di sini juga  akan sentiasa ada di sekitar untuk membantu pengunjung bermain dan mengambil gambar dengan beberapa haiwan eksotik seperti Rakun, Burung Hantu dan pelbagai reptilia yang sangat jinak.

Snek dan minuman juga disediakan di zoo mini ini untuk pengunjung yang ingin berehat dan menikmati pemandangan. Dengan aktiviti ladang tersedia setiap hari seperti memberi makan haiwan dan serta bermain dengan haiwan, pengalaman mengunjungi ke Farm in the City semestinya sesuatu yang tidak dapat dilupakan.


Sama ada anda mencari tempat untuk bermain sambil belajar, menikmati ketenangan bersama haiwan atau hanya ingin memenuhi hari dengan aktiviti yang menyeronokkan, zoo mini dan ladang peliharaan haiwan yang terdapat di Selangor semestinya akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Tarikan-tarikan di kesemua tempat ini juga semestinya menawarkan keindahan alam semula jadi dan kegembiraan berinteraksi dengan pelbagai jenis haiwan. Untuk lebih banyak inspirasi pelancongan di Selangor, layari laman web rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel- 7KLIK



[KREDIT FOTO: Tourism Selangor - Terima Kasih Amilia Abdul Aziz] 

Post a Comment

Previous Post Next Post