Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kembali beraksi, Boboiboy Galaxy Windara kini di TV9


SIRI animasi popular BoBoiBoy mengumumkan akan kembali menghiburkan penonton di kaca televisyen melalui siri terbaharunya,  BoBoiBoy Galaxy Windara.

BoBoiBoy yang telah memikat hati jutaan kanak-kanak dan keluarga di seluruh Malaysia, dijadualkan kembali untuk bersiaran di TV9 dengan siri terbaharu, bermula 2 Jun ini, setiap Ahad, jam 6.30 petang dan boleh strim secara langsung dalam HD melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

BoBoiBoy kini sudah beraksi selama 12 tahun dan telah mencipta peminatnya tersendiri daripada pelbagai generasi.

Tayangan siri terbaru ini tentunya bakal meningkatkan rasa keterujaan dalam Generasi-B (BoBoiBoy) yang telah mengikuti BoBoiBoy daripada siri pertama.

Apa ang pasti episod-episod baharu ini akan terus mengukuhkan kedudukan BoBoiBoy sebagai siri animasi kegemaran di Malaysia yang sentiasa menjanjikan animasi yang lebih hebat, segar, penuh pengajaran dan hiburan berkualiti.

Selain daripada jalan cerita menarik, penonton juga boleh menjangkakan peningkatan dalam kualiti animasi dan efek visual yang lebih mengagumkan. Pasukan produksi telah bekerja keras untuk memastikan setiap episod memenuhi standard tertinggi dalam industri animasi.


Dihasilkan oleh MONSTA, BoBoiBoy Galaxy Windara membawa penonton menyertai pengembaraan BoBoiBoy yang menghadapi dilema apabila Kuputeri iaitu pemegang asal kuasa Elemen Tempest tiba di Bumi untuk menuntut semula kuasanya dan menyelamatkan rakyatnya.

Untuk memujuk BoBoiBoy, Kuputeri telah menjemputnya ke Planet Windara, dimana dia dapat menyaksikan sendiri penderitaan rakyatnya yang telah lama bertahan di bawah naungan Maharaja Reramos yang jahat.

Sempena dengan pelancaran siri terbaharu ini, BoBoiBoy Galaxy Windara mengumumkan pelancaran peraduan 'Tonton dan Menang' yang bakal memberikan peluang kepada penonton setia untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.

Peraduan itu akan berlangsung bermula dari 2 Jun hingga 7 Julai 2024. Peraduan 'Tonton dan Menang' bertujuan untuk menghargai sokongan padu daripada peminat siri BoBoiBoy.

Untuk menyertai peraduan ini, penonton hanya perlu menonton setiap episod BoBoiBoy Galaxy Windara, dan meneka watak yang muncul di kaca televisyen sewaktu tayangan tersebut, selain mencipta dialog tersendiri dengan cara kreatif berdasarkan situasi diberi.

Jangan lepaskan peluang ini kerana anda boleh memenangi pelbagai barangan eksklusif BoBoiBoy. - 7KLIK

[FOTO: TV9 - Terima kasih - Efendi Amir]

Post a Comment

0 Comments