Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Kisah perjuangan Asma ini sangat menyentuh hati saya," - Mateen


PERJALANAN sirah kisah Asma Abu Bakar (R.A.) yang sanggup berkorban jiwa dan raganya bagi membantu perjuangan Nabi S.A.W dan Saidina Abu Bakar dalam peristiwa Hijrah telah menjadi inspirasi bagi penyanyi nasyid, Mateen.

Kisah yang begitu menyentuh hati itu diangkat sebagai tema lirik single terbarunya, Asma Abu Bakar yang juga merupakan karya ciptaan Frizdan dan lirik oleh Ito Lara.

Mateen mahu membawa pendengar menghayati kisah Asma yang sedang sarat mengandung, sanggup mendaki Jabal Thur bagi menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk Rasulullah S.A.W dan ayahnya Saidina Abu Bakar di Gua Thur.

"Kisah perjuangan Asma ini sangat menyentuh hati saya apatah lagi setelah digubah dengan susunan lirik yang indah dan melodi yang menyentuh hati.

"Ia mengingatkan kita bagaimana seorang wanita juga memainkan peranan penting dalam membantu perjuangan menegakkan agama Allah," ujarnya.

Lagu Asma Abu Bakar merupakan single solo kedua Mateen selepas single pertamanya, Teratas dilancarkan awal tahun yang lalu.

"Sebelum ini saya mempertaruhkan lagu Teratas yang agak laju dari segi temponya. Kali ini untuk single kedua, saya memilih lagu yang lebih perlahan dan memerlukan penghayatan serta memasukkan elemen sirah Nabawiyah," jelasnya.


Sementara itu, pembikinan muzik video lagu Asma Abu Bakar turut memaparkan simbolik daripada sirah yang berlaku lebih 1400 tahun lalu. Sesi penggambarannya dilakukan di kawasan bukit berbatu bagi menggambarkan keadaan bentuk muka bumi di Jabal Thur.

"Saya harap lagu ini akan mendapat maklum balas yang baik daripada pendengar semua serta dapat dihayati dan diambil iktibar daripada kisah sirah yang cuba disampaikan ini," akhirinya.

Lagu Asma Abu Bakar baru sahaja dilancarkan pada 16 Februari lalu dan kini boleh didapati di semua platform digital termasuk rangkaian YouTube Inteam Digital. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: sebagai-penyanyi-yang-sudah-lama-berada
ARTIKEL LAIN: takdir-itu-milik-aku-liza-hanim-sekali
ARTIKEL LAIN: bunkface-bawa-emosi-tulen-lirik

Post a Comment

0 Comments