Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Takdir Itu Milik Aku, Liza Hanim sekali lagi buat peminat terpaku


SETELAH tampil cemerlang dengan konsert sulungnya baru-baru ini, penyanyi bervokal gemersik, Liza Hanim sekali lagi membawa buah tangan istimewa buat para peminat yang setia menyokong kerjaya seninya.

Hadir dengan single terbaharu berjudul Takdir Itu Milik Aku, pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim itu mengakui tertarik dengan melodi dan liriknya yang disifatkan cukup bermakna.

"Saya memutuskan untuk merakam lagu ini kerana melodi dan liriknya sangat unik dan enak didengar. Bahagian chorus yang mudah dan 'catchy' membuatkan saya mudah mengingati. Sekali gus, membuat lagu ini semakin istimewa buat saya.

"Meskipun ada berbagai cabaran dalam proses menghasilkan lagu ini, tetapi ia adalah hasil kerja yang sangat berbaloi," ujarnya pernah tampil dengan tujuh album studio sebelum ini.

Menariknya, karya ciptaan Ejai Aziz dan Kelana, serta lirik oleh Siti Rosmizah itu diangkat menjadi lagu runut bunyi rasmi drama terbaharu dengan judul sama yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Menurut Liza lagi, lagu Takdir Itu Milik Aku adalah cerminan tentang perjuangan dan pengorbanan seseorang yang pada akhirnya harus akur menerima takdir yang telah ditetapkan.

"Sebagai manusia biasa, kita diuji dengan pelbagai dugaan dan segala penderitaan serta pengorbanan adalah sebagian daripada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Akhirnya, kita harus menerima dan berserah kepada-Nya.

"Proses rakaman lagu ini tidak memerlukan masa lama kerana melodi dan liriknya sangat memikat hati saya sejak awal lagi. Makna lagu ini mudah difahami dan boleh dikaitkan dengan para pendengar apabila mendengarnya," ujar pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Lagu Edisi ke-17 itu lagi.



Drama Takdir Itu Milik Aku membariskan barisan pelakon yang terdiri daripada Emna Maembong, Aiman Hakim Redza, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Mustaqim Bahadun, Datuk Fauziah Nawi, Mak Engku Farida, Naszsally, Riz Amin, dan ramai lagi.

Naskhah tersebut mengisahkan tentang Dian Zara, seorang gadis lurus dan bersih hatinya menumpang kasih dengan neneknya. Namun ibu saudaranya, Kamisah tidak henti-henti menyeksa hidupnya dan Dian disuruh menjadi orang gaji sebelum dipaksa kahwin.

Liza yang baru sahaja tampil dengan konsert sulung, Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini mengharapkan agar lagu terbitan syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia itu diterima baik para peminat dan penggemar muzik tanah air.

Lagu Takdir Itu Milik Aku kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK   



[FOTO: Sony Music Malaysia]

Post a Comment

0 Comments