Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dilantik sebagai duta CSA Academy, Ziana Zain mahu bantu orang ramai bebas hutang


MEYAKINI kredibiliti dan integriti seorang Ziana Zain yang sudah mencetak sejarah dalam dunia hiburan tempatan adalah faktor utama CSA Academy melantik pesohor seni legenda ini sebagai duta rasmi organisasi tersebut dalam membantu merancang kewangan yang lebih tersusun dan cemerlang serta bebas hutang.

CSA Academy juga meminjam liku perjalanan dan jerih Diva Pop ini dalam mencapai gemilang kejayaan yang dibina berbekal reputasi baik, lebih dua dekad menjadi pelaku seni sebagai semangat yang diperlukan mereka untuk melakar sejarah dalam operasi yang dijalankan.

Ziana atau nama lengkapnya Siti Roziana Zain, 55, menyifatkan pelantikan sebagai duta rasmi CSA Academy sebagai sebuah penghormatan.

“Saya melihat pelantikan sebagai duta rasmi CSA Academy sebagai sebuah penghormatan yang besar. Bukan untuk saya secara peribadi tetapi bagaimana saya mampu mewakili, memikul tanggungjawab dan kepercayaan untuk menyebarkan informasi bagaimana kita semua mampu hidup bebas hutang melalui pengurusan kewangan yang betul bersama bantuan CSA Academy.

“Sejujurnya saya sendiri suka perkara seperti ini kerana secara tidak langsung dapat bertemu ramai orang, dapat ilmu dan pengalaman baharu terutama bagaimana menguruskan kewangan.

“Maklumlah kadang-kadang kita berbelanja tidak sepadan dengan hutang, jadi CSA Academy membantu dengan memberi ilmu bagaimana menguruskan semuanya dengan bijak," katanya.

Pelantikan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Anggapanmu sebagai duta rasmi CSA Academy itu berlangsung di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Ziana, apa yang diharapkan agar lebih ramai lagi yang akan menyertai CSA Academy selepas pelantikan dirinya sebagai duta.

“Tentu sahaja besar juga harapan saya dapat membantu CSA Academy mencapai matlamat untuk membuat masyarakat cakna tentang kewujudan mereka sekali gus memberi khidmat terbaik kepada yang memerlukan.

“Apa yang penting CSA Academy menjamin gaya hidup bebas hutang untuk semua ahli,” ujarnya.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif CSA Academy, Dr. Jay Ong, berkata, pelantikan Ziana sebagai duta rasmi mereka adalah keputusan yang tepat.

“Mengapa tidak Ziana Zain? Kami percaya sebagai rakyat Malaysia meski berbangsa India atau Cina dan tentu sahaja kaum Melayu semua kenal siapa Ziana Zain. Beliau seorang legenda.

“Kami di CSA Academy yakin pemilihan Ziana Zain sebagai duta rasmi adalah tepat. Reputasi, integriti dan kredibiliti serta semangat juang yang ada dalam dirinya adalah seiring dengan matlamat kami untuk menuju kegemilangan serupa,” ujarnya.


Seiring pelantikan itu juga, sebuah lagu yang menyerap roh dan perjuangan tanpa erti putus asa berjudul Semangat Wira telah digubah khas untuk dinyanyikan oleh Ziana dan bakal dilancarkan pada Mei depan.

Semangat Wira menggambarkan keseluruhan perjuangan tanpa lelah dan putus asa yang dinyanyikan Ziana Zain khusus buat seluruh ahli CSA Academy,” kata Dr. Jay lagi.

Selain Ziana, CSA Academy juga memiliki duta rasmi dalam kalangan individu berpengaruh termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan.

Persiapan konsert

Terdahulu CSA Academy diumumkan turut bertindak selaku penaja utama Konsert Ziana Zain 2024 yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei depan.

Konsert solo yang dinantikan ramai itu merupakan anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.

Bercakap mengenai kolaborasi tersebut, Ziana berterima kasih kepada CSA Academy kerana menunaikan impian kembali mengadakan konsert selepas kali terakhir pada 2001 hampir menjadi realiti.

"Saya kini sedang giat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk memastikan dapat memberi persembahan terbaik buat peminat.

"Pihak kami mengalukan peminat untuk mendapatkan tiket sementara ia masih berada di pasaran," katanya teruja.

Tiket Konsert Ziana Zain 2024 dijual dengan harga RM288, RM488, RM688, RM888 dan RM1,088. Pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/- 7KLIK



[FOTO: CSA Academy - Terima kasih Opie]

Post a Comment

0 Comments