Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kembara Nabawi, Aina Abdul berikan kelainan dengan single kerohanian


BARU sahaja menggondol anugerah Vokal Terbaik dan tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-38, penyanyi Aina Abdul tampil dengan kelainan menerusi sebuah karya kerohanian berjudul Kembara Nabawi.

Lari daripada kebiasaan, karya tersebut bukan daripada hasil ciptaan Aina sendiri tetapi merupakan hasil gubahan daripada Anep Otwo, Alan Otwo dan FJ Muzik, manakala lirik juga oleh FJ Muzik.

Seperti judulnya, lagu serta penulisan karya itu mengangkat kisah perjuangan serta kehidupan tokoh junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad Rasulullah SAW dalam menegakkan Islam.

Menurut Anep Otwo, karya tersebut dirasa begitu luar biasa dengan penyampaian serta vokal Aina Abdul.

"Aina mempunyai kebolehan menyampaikan lagu ini dengan penuh ikhlas sambil mampu menceritakan kisah di sebalik lirik tersebut.

"Dia seorang penyanyi yang sangat luar biasa dan semestinya kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan seorang penyanyi yang sememangnya sangat dikenali di Malaysia," ujarnya.

Mengulas mengenai penghasilan Kembara Nabawi, komposer muda sedang meningkat naik itu mengakui terdapat beberapa rujukan yang dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dihasilkan.

"Dari segi penulisan lagu ini, ia ditulis oleh saudara FJ Muzik dan semua ini datangnya daripada hasil membaca kisah Rasulullah SAW.

"Dalam masa sama agak susah untuk kami singkatkan dan menjadikannya sebuah lirik yang lengkap kerana mahu setiap patah kata dalam lirik ini menjadi padat serta pendengar dapat merasai kisah dalam lirik ini.

"Semoga lagu serta penulisan ini akan membuatkan kami serba sedikit tahu secara ringkas tentang perjalanan dan kehidupan Nabi Muhammad SAW," tambah Anep lagi.

Kembara Nabawi turut menampilkan sebuah video muzik dan telah dilancarkan serentak pada 8 Mac lalu. Ia boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music. - 7KLIK



[FOTO: Sony Music Entertainment - terima Kasih Joe Saiful]

Post a Comment

0 Comments