"Apabila kita jatuh, bangkitlah semula dan jangan menyerah kalah" - Aril Pilus


SETELAH sekian lama menyepi dan aktif sebagai pengacara serta penyampai, Aril Pilus, kembali ke landasan asalnya dalam bidang nyanyian dengan menampilkan single terbaharu, Tak Sempurna.

Lagu ciptaan bersama, komposer berbakat Justin Seow dan lirik oleh Asyraf Nasir itu diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

Mengulas tentang single tersebut, Aril, 37, berkata, karya terbaharu itu diharapkan menjadi titik tolak kebangkitan semula dirinya dalam kerjaya nyanyian.

Segalanya bermula apabila trend tarian shuffle kembali diminati dan ia memberi inspirasi kepada graduan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia itu untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

“Baru-baru ini tular di media sosial trend tarian ‘shuffle’ kembali diminati ramai. Saya dahulunya seorang ‘shuffler’ dan mempunyai pengikut ramai dalam serta luar negara.

"Jadi saya ambil kesempatan ini untuk menghasilkan sebuah karya berentak pop EDM dan berhasrat menghasilkan festival EDM, selain mempromosikannya.

“Lagu ini membawa maksud ‘kebangkitan semula’, sentiasa berjalan mara ke hadapan. Apabila kita jatuh, bangkitlah semula dan jangan menyerah kalah kerana kita semua tidak sempurna. Walaupun rancak, liriknya lebih memberi motivasi dalam membangkitkan semangat," jelasnya.

Aril mula merancang menghasilkan single ini pada Julai tahun lalu, bagaimana pun proses pembikinan lagu itu hanya bermula setelah dia bertemu dengan komposer yang betul-betul memahami kehendaknya.

“Tidak ramai yang memahami konsep muzik EDM ini dan yang menjiwainya sahaja akan faham. Saya turut menjemput penyanyi rap tanah air, Nigel Sparks untuk menambah flavour ke dalam karya ini dan hasilnya amat memuaskan hati.

“Saya anggap lagu ini ibarat comeback saya ke dalam industri muzik, dan bukan saya sahaja, malah untuk komuniti tarian ‘shuffle’ serta penggemar muzik EDM.

"Setakat ini, video muzik (MV) bagi single ini masih lagi dalam proses perbincangan dan berkemungkinan hanya lirik videonya sahaja yang bakal dilancarkan," ujarnya yang sebelum itu turut aktif di konti sebagai penyampai radio.



Menganggap dirinya seorang yang versatil, Aril mengakui bukanlah artis yang beromongan kosong, sebaliknya tahu apa yang dilakukan dan dimahukan dalam kerjaya seninya.

“Saya kembali ke universiti kerana ingin memantapkan pengetahuan dalam bidang seni. Sebagai seorang pengusaha kreatif, kita perlu menimba ilmu kerana apabila karya-karya yang dihasilkan, ia bermutu dan mempunyai nilai.

“Saya berharap agar lagu ini mendapat sambutan dan diterima ramai. Ini kerana lagu ini juga mempamerkan sisi berbeza saya yang ramai tidak tahu di luar sana bahawasanya suatu ketika dahulu saya merupakan ‘shuffler’ yang disegani," katanya.

Lagu Tak Sempurna boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.  - 7KLIK



[FOTO: Rocketfuel Entertainment]

Post a Comment

Previous Post Next Post