Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Lama menyepi, Madam mahu peminat kembali 'Merindu'


BIARPUN populariti belum menyebelahi secara total dan mempunyai nama gah sebegaimana kumpulan rock, Madam sentiasa yakin dan percaya dengan perjuangan muzik mereka.

Kumpulan yang dianggotai oleh Putera selaku vokalis, Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (gitaris) itu mahu terus berkongsi karya dengan peminat dengan penghasilan single terbaharu mereka, berjudul Merindu.

“Kami masih lagi aktif berkarya dalam menghasilkan lagu-lagu rock bermutu, dan juga masih lagi giat memperjuangkan muzik rock di bawah naungan label Rocketfuel Entertainment.

“Terbaru kami tampil dengan single Merindu, dan ia adalah hasil ciptaan kami sepenuhnya. Idea di sebalik pembikinan lagu ini mula direncanakan sekitar bulan Mac tahun lepas lagi, tetapi disebabkan atas beberapa faktor tidak dapat dielakkan, hasrat tersebut terhenti, dan disambung semula pada penghujung 2023,” ujar Putera.

Single Merindu adalah mengenai perasaan merindui seseorang dengan gambaran rindu yang amat berat lagi mendalam.

Jelas Azuan, Madam mengambil maa selama tiga minggu untuk menghasilkan lagu tersebut yang disifatkan begitu istimewa.

“Kami mengambil masa selama tiga minggu untuk menghasilkan single Merindu, di mana ia termasuk proses penulisan, adu campur muzik sehingga menjadi sebuah karya sempurna.

“Lagu ini masih mengekalkan irama rock, tetapi ada elemen pop moden, supaya lebih mudah mudah diterima pendengar setelah lebih dari setahun kami tidak hadir dengan single baharu," katanya.

Sementara itu, Fadhil berkata, mereka menaruh harapan yang tinggi terhadap karya tersebut, selain terus mendapat sokongan penuh daripada peminat dan pendengar muzik tanah air.

“Kami berharap agar pendengar dapat mengenali band Madam dengan lebih lagi kerana lagu ini merupakan ciptaan kami yang kedua setelah single Nona lebih setahun lalu.

“Terima kasih buat semua peminat yang terus menyokong dan menanti karya terbaharu kami, semoga Madam kekal dalam industri muzik sehingga hujung nafas kami," katanya.


Lagu Merindu boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Selain single, video muzik lagu ini turut dilancarkan dengan jalan cerita menarik mengenai perasaan seseorang apabila merindu kekasihnya, selain mengenang memori indah bersama. Ia boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network. - 7KLIK



[PHOTO: Rocketfuel Entertainment]

Post a Comment

0 Comments